NGO bimbang kematian warga Nepal dalam tahanan

Seorang warga Nepal dikatakan mati dalam tahanan di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebuah NGO menentang kematian dan penderaan dalam tahanan menyuarakan kebimbangan terhadap kematian seorang warga Nepal yang dilaporkan berlaku di lokap Jinjang di Kuala Lumpur.

Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) memetik sumber sebagai berkata, Dhan Bahdur, 26, mati pada 31 Mei lalu, 5 hari selepas dia direman.

“Menurut sumber, Bahdur ‘dilaporkan mati pada 8.20 pagi’ oleh seorang paramedik dari Hospital Selayang.

“Edict ingin mengingatkan polis, orang awam dan kerajaan, di bawah Akta Polis, polis bertanggungjawab ke atas kesihatan tahanan.”

Dalam kenyataan yang ditandatangani Pengarah Eksekutifnya, Khalid Mohd Ismath, NGO itu berkata, amat penting untuk koroner melihat mayat di tempat kejadian sebelum ia dipindahkan, seperti diperuntukkan undang-undang.

Katanya, Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan kematian dalam tahanan perlu segera dimaklumkan kepada majistret atau koroner.

“Namun begitu, mayat Bahdur nampaknya tidak dilihat oleh koroner Kuala Lumpur di tempat kejadian,” katanya sambil menambah ia belum dapat mengesahkan dakwaan ia disebabkan jangkitan Covid-19.

Oleh itu, Edict menggesa ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan mendedahkan sama ada pihak berkuasa tidak mematuhi peruntukan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

Ia turut menggesa Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim mendedahkan butiran kes itu.

Jurucakap Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur berkata, ia tidak menerima sebarang notis konsular berhubung perkara itu, sama ada dari pihak Malaysia atau balai polis terbabit.

“Kami akan periksa,” kata Setiausaha Kedua (Penyelamatan & Penghantaran pulang, Penjara dan Penahanan), Pratik Karki kepada FMT.