Parti pembangkang disertai Baru Bian tak mampu tandingi GPS, kata penganalisis

Baru Bian (kiri) bersama Presiden PSB, Wong Soon Koh (tengah) dan See Chee How (kanan) pada Sabtu lalu. (Gambar Facebook)

KUCHING: Seorang penganalisis politik berkata, Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak dapat memberi kesan besar dalam pilihan raya negeri pada tahun depan, walaupun beberapa bekas ahli PKR negeri menyertai parti itu baru-baru ini.

Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia, berkata PSB tidak dapat menandingi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

PSB adalah parti bebas tempatan yang tidak mempunyai kaitan dengan parti politik lain di Sarawak, sementara GPS ialah gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). Gabungan itu membentuk kerajaan negeri.

Jawan berkata, PSB menyuarakan hasrat untuk bertanding di semua kerusi Sarawak, namun parti itu tidak akan memberi sebarang impak di kawasan Melayu dan Melanau.

“Ini mungkin menimbulkan beberapa riak di kawasan Cina; ia mungkin membawa gelombang di kawasan Dayak, tetapi itu sajalah,” katanya kepada FMT.

Beliau menyifatkan PSB sebagai “parti ditolak” yang dipimpin individu meninggalkan parti asal mereka dan hanya mahu kekal relevan.

“Mereka melompat ke sana sini mencari platform politik dan tidak mewakili prinsip, melainkan diri mereka.

“Sebagai contoh, adakah Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian berunding dengan pengundi di kawasannya sebelum menyertai PSB atau adakah tindakan itu semata-mata untuk memastikan cita-cita politik peribadinya terus hidup?”

Baru, bekas ketua PKR Sarawak, menyertai PSB pada Sabtu lalu bersama Adun Batu Lintang, See Chee How dan beberapa ahli PKR Sarawak.

Baru berkata, beliau dan penyokongnya berkongsi “aspirasi PSB untuk Sarawak Baru”.

Baru, bekas menteri kerja raya, bersekutu dengan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan PKR ketika krisis politik pada Februari lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau meninggalkan PKR kerana pemimpin parti itu gagal meneruskan visi asal parti.

Bagaimanapun, Jawan berkata, penjelasan Baru ialah penjelasan tipikal yang biasa digunakan “katak politik”.

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata PSB memiliki ramai pemimpin berpengalaman, termasuk Baru dan dengan sumber kewangan kukuh, parti itu boleh menjadi ancaman kepada rakan gabungan GPS seperti PRS, PDP dan SUPP pada PRN akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata, PSB “lemah” dan memberi amaran ahli parti itu boleh melompat ke parti lain pada bila-bila masa, jika berlaku perselisihan antara mereka atau demi kepentingan politik peribadi.

“PSB seperti tempat perlindungan sementara untuk ‘pelarian politik’ sebelum pilihan raya negeri dan pilihan raya umum berikutnya.”