Penumpang dilarang berbual dalam MRT Jakarta

Pengguna MRT Jakarta dilarang bersembang dengan penumpang lain atau berbual dalam telefon bimbit bagi membendung penularan pandemik Covid-19. (Gambar AP)

JAKARTA: Pengguna perkhidmatan pengangkutan MRT di Jakarta dilarang bersembang dengan penumpang lain atau berbual dalam telefon bimbit bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Seperti yang diketahui, Covid-19 umumnya dapat ditularkan melalui titisan air liur yang dihasilkan ketika orang yang dijangkiti batuk, bersin atau berbicara,” menurut ciapan Instagram syarikat pengendali MRT Jakarta, PT Moda Raya Transportasi Jakarta semalam.

MRT Jakarta, mercu baru pengangkutan Jakarta itu mula beroperasi pada 24 Mac 2019, sebelum ini mengehadkan jumlah penumpang lebih daripada separuh kapasiti tren, penjarakan sosial serta pemakaian topeng sejak Mac lalu.

Sementara itu, menurut media tempatan, syarikat pengendali komuter PT Kereta Commuter Indonesia (KCI) juga dijangka melaksanakan arahan dan peraturan sama (larangan berbual di dalam komuter).

Pihak berkuasa Jakarta dijangka memperkenalkan beberapa protokol baru dalam pelaksanaan normal baru bermula 5 Jun ini, antaranya dijangka melonggarkan beberapa peraturan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) yang berkuat kuasa sehingga 4 Jun ini bagi membenarkan semula beberapa aktiviti sosio-ekonomi.

Sehingga kini, kes positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat kepada 26,940 kes dengan 1,641 kematian.

Menurut jurucakap kerajaan Indonesia berhubung Covid-19, Achmad Yurianto, 467 kes baru dan 28 lagi kematian dicatatkan dari 12 tengah hari kelmarin sehingga 12 tengah hari semalam.

“Ketika ini juga, seramai 13,120 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media harian.

Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi, iaitu 518 kes, diikuti Jawa Timur (412 kes), Jawa Barat (144) dan selebihnya di wilayah lain.