Permohonan peguam tarik balik saman cabar kewujudan sekolah vernakular didengar 2 Julai

Pada mulanya, Khairul Azam Abdul Aziz memohon pengisytiharan yang undang-undang menyatakan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 2 Julai ini untuk mendengar permohonan seorang peguam yang menarik balik samannya bagi mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak berperlembagaan.

Hakim Nordin Hassan menetapkan tarikh itu selepas menemui pihak terbabit ketika pengurusan kes hari ini.

Beliau turut mengarahkan peguam Khairul Azam Abdul Aziz, Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil untuk mengemukakan hujah bertulis pada 25 Jun.

Ketiga-tiga kumpulan itu membantah permohonan Khairul untuk menarik balik samannya atas alasan beliau memfailkannya demi mendapatkan publisiti.

Tiga kumpulan itu yang menjadi pencelah, juga berkata Khairul tidak harus dibenarkan menarik balik permohonannya kerana perkara itu adalah isu perlembagaan di mahkamah.

R Permalu, presiden Persatuan Bahasa Tamil, mengesahkan afidavit itu dan turut diberi kebenaran untuk mewakili 2 kumpulan lain.

“Tindakan plaintif (Khairul) dilakukan secara tidak jujur kerana dia memuat naik sebuah video bertajuk ‘Cina dan India takde dalam Perlembagaan Persekutuan’ ke Facebooknya pada 14 Jan 2020 (10.48 malam).

“Selepas mengeluarkan kata-kata itu, dia meludah ke arah kamera. Ini menunjukkan plaintif bersifat perkauman,” kata Permalu dalam afidavit yang dilihat FMT.

Beliau berkata, dengan memfailkan kes itu dan mendapat “publisiti murahan” melalui media, Khairul kini mahu menarik balik saman itu.

Permalu berkata, beliau dinasihatkan peguamnya yang saman itu dan tindakan menarik balik saman berkenaan tidak akan membuang masa mahkamah.

“Kami menggesa mahkamah menolak permohonan untuk menarik balik dan juga mengenakan kos sangat tinggi (kepada Khairul).”

Peguam Abdul Rahim Sinwan yang mewakili Khairul, memberitahu wartawan beliau tidak akan memfailkan afidavit sebagai jawapan kepada Permalu.

Januari lalu, Khairul memohon pengisytiharan yang Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai medium utama di sekolah vernakular bertentangan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan menyatakan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.

Khairul kemudiannya berkata, beliau menarik balik permohonannya kerana Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia sudah memfailkan saman sama.