
PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mengesyorkan projek mega Bandar Malaysia yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur hanya diteruskan sekiranya ia disertakan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Yeah Kim Leng berkata, Kuala Lumpur kini dibanjiri ruang komersial dan runcit, lebih banyak pembangunan hanya akan menambah kepada lebihan itu kecuali ia mempunyai ciri khas.
“Ia hanya akan masuk akal jika projek HSR diteruskan di Bandar Malaysia. Ia akan memacu pertumbuhan,” katanya kepada FMT.
Kerja membabitkan projek HSR, yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, ditangguhkan hingga 31 Disember ini.
Sementara itu, Bandar Malaysia yang sedang dibangunkan dengan kerjasama TRX City Sdn Bhd milik kerajaan dan sebuah konsortium terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd serta China Railway Engineering Corporation.
Kebimbangan terhadap pembangunan guna campur seluas 196.67ha itu timbul, walaupun sebelum aktiviti perniagaan ditutup akibat penularan pandemik Covid-19.
Bekas penasihat kerajaan, Daim Zainuddin mempersoalkan jika terdapat pembeli mencukupi untuk ruang komersial dalam projek itu, yang dibina di sebidang tanah di Sungai Besi yang dulunya pangkalan tentera udara.
Yeah, profesor ekonomi di Universiti Sunway, berkata projek HSR akan menjadikan Bandar Malaysia sebagai hab pengangkutan utama yang menghubungkan Lembah Klang dengan negeri lain di Malaysia dan Singapura.
“Kita telah melihat pembangunan di kawasan sekitar jaringan transit sebelum ini. Ia menguntungkan perniagaan di kawasan komersial sekitarnya.”
Pakar ekonomi bebas, Hoo Ke Ping berkata, pemaju projek itu harus dibenarkan membina 10,000 rumah mampu milik sekarang seperti yang termaktub dalam perjanjian antara pemaju dan kerajaan.
Beliau berkata, projek itu akan mewujudkan peluang pekerjaan, memulakan industri lain yang berkaitan tapak pembinaan dan menyediakan rumah kepada rakyat pada harga berpatutan.
Pakar ekonomi dari Universiti Malaya, Nazari Ismail bagaimanapun memberi amaran ekonomi negara sedang menuju kemelesetan.
“Mana-mana projek berdepan risiko. Malah projek rumah mampu milik itu berisiko, pada pendapat saya.
“Dalam keadaan (ekonomi) sekarang, orang ramai harus mengelakkan hutang.”