Sabah benar kemasukan pelawat negeri lain

Sabah menerima kemasukan rakyat Malaysia dari negeri lain mulai hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk membenarkan pelawat dari semenanjung, Sarawak dan Labuan memasuki negeri itu mulai hari ini.

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, semua rakyat Malaysia, termasuk pekerja sektor awam dan swasta dibenarkan melakukan perjalanan memasuki Sabah melalui udara, darat atau laut.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk mengecualikan mereka menjalani kuarantin dengan syarat mereka telah melakukan ujian Covid-19 di tempat atau negara masing-masing dalam tempoh 3 hari sebelum masuk ke Sabah.

“Surat pengesahan dari Kementerian Kesihatan hendaklah dikemukakan setibanya di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shafie berkata, rakyat Malaysia dialu-alukan untuk menginap di hotel di negeri itu yang telah beroperasi sejak 10 Mei.

Pada Mac, Sabah melarang warga bukan Sabah memasuki negeri itu selepas kerajaan pusat mengenakan perintah kawalan pergerakan.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.

Shafie kemudian berkata penduduk yang bukan berasal dari Sabah tidak akan dibenarkan memasuki negeri itu melalui udara, darat atau laut kecuali mereka mendapat persetujuan khas dari kerajaan negeri.

Dalam kenyataannya hari ini, Shafie menjelaskan warganegara (non-sabahan) dan bukan warganegara diwajibkan mengemukakan pas kerja atau dokumen lain yang berkaitan sebaik sahaja mereka tiba di negeri ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah Frankie Poon berkata beliau sedang melihat kemungkinan untuk membenarkan beberapa penerbangan langsung antarabangsa selepas perintah kawalan pergerakan tamat pada 9 Jun dalam usaha untuk memulihkan ekonomi.

Beliau berkata penggunaan alat ujian pantas dalam melawan Covid-19 akan memungkinkan untuk menarik perhatian pelancong asing sekali lagi.

“Kit ujian pantas adalah cara yang sangat cepat untuk mengetahui sama ada seseorang itu mempunyai atau tidak mempunyai virus Covid-19,” katanya.

Pelancongan adalah salah satu sektor yang paling menguntungkan di Sabah dengan kira-kira 4.19 juta pelancong mengunjungi negeri itu pada 2019.

Poon berkata banyak restoran dan kedai masih ditutup di Sabah akibat krisis Covid-19 dan mengaitkannya dengan pemilik perniagaan yang “terlalu berhati-hati”.

Beliau menggesa mereka membuka kedai dan mengguna pakai semua garis panduan pihak berkuasa kesihatan, mengatakan jika mereka mengikuti prosedur operasi standard, kemungkinan terjadinya jangkitan adalah minimum.