SOP kedai gunting rambut dibentang Sabtu ini

Kedai gunting rambut masih dalam senarai larangan tidak kira perkhidmatan di kedai atau rumah ke rumah.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata prosedur operasi standard (SOP) perkhimatan kedai gunting rambut akan dibentang dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) Sabtu ini.

Beliau berkata perkhidmatan pasar malam dan pekan sehari juga akan dibentangkan pada hari yang sama.

“Banyak perkara kita minta bentangkan dalam mesyuarat Sabtu ini.

“Kita belum lihat lagi SOP mereka. Kita minta bentangkan pada mesyuarat Sabtu ini,” katanya pada sidang media harian.

Sebelum ini, Ismail berkata kedai gunting rambut masih dalam senarai larangan tidak kira sama ada perkhidmatan di kedai atau rumah ke rumah.

Selain sektor perniagaan, katanya, SOP operasi aktiviti keagamaan melibatkan masjid termasuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan rumah ibadat akan dibentangkan dalam mesyuarat itu.

“Contoh masjid Putrajaya, mungkin muat sampai 200 kalau masjid besar. Tetapi mesti ada penjarakkan sosial dan SOP lain.

“Kita serah kepada menteri agama bentang pada mesyuarat Sabtu ini,” katanya.

Akad nikah, jurufoto

Ismail berkata mesyuarat itu bersetuju membenarkan rentas negeri bagi urusan akad nikah dengan mendapatkan kebenaran polis dan mengikut SOP yang ditetapkan.

Katanya, antara SOP adalah tidak melebihi 20 orang, mengamalkan penjarakkan sosial dan tidak bersalaman.

Ismail berkata mesyuarat sama juga bersetuju dengan permohonan jurufoto perkahwinan mula beroperasi hari ini.

Katanya, bagaimanapun aktiviti ini terhad kepada penggambaran pra-perkahwinan dan akad nikah serta tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

“Majlis perkahwinan adalah masih tidak dibenarkan,” katanya.

Penggambaran filem

Ismail berkata kerajaan juga membenarkan penggambaran filem bermula 10 Jun ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan semua yang terlibat dalam aktiviti terbabit mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Penjarakkan sosial serta kebersihan diri harus diamalkan pada setiap masa,” katanya.

Saringan penjara Sungai Buloh

Ismail juga menjelaskan saringan ke atas 700 kakitangan dan 800 tahanan di penjara Sungai Buloh susulan seorang tahanan positif Covid-19.

Beliau berkata 700 kakitangan disaring berikutan terlibat di kawasan tempat tahanan yang positif Covid-19.

“Jadi kita saring, manakala tahanan yang disaring berikutan terlibat di blok tahanan yang positi Covid-19,” katanya sambil menambah pelawat belum dibenarkan melawat penjara tersebut.