Timbalan menteri gesa Dr M, Muhyiddin baiki hubungan, satukan kembali PPBM

Presiden PPBM Muhyiddin Yassin bersama Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Timbalan menteri dari PPBM yang dikatakan telah berpaling tadah kepada puak Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta semua pihak merapatkan barisan.

Shahruddin Md Salleh berkata beliau berharap Presiden ketika ini Muhyiddin Yassin dan Mahathir, yang digugurkan keahliannya minggu lalu bersama dengan 4 ahli Parlimen PPBM kerana berpihak kepada pembangkang Pakatan Harapan (PH), dapat memperbaiki hubungan dan menyatukan kembali parti itu.

Timbalan menteri kerja raya itu berkata beliau bertemu dengan Mahathir selepas keputusan untuk mengugurkan keahlian bekas pemimpin itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Shahruddin Md Salleh.

“Saya tanya Tun, betulkah Tun dah masuk parti pembangkang? ‘Tidak sekali-kali’ katanya. Tun nafikan.”

Shahruddin menambah beliau akan kekal dalam PPBM dan pakatan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tak mahu lihat PPBM lemah kerana kita berpecah dan berbalah. Saya juga tak mahu lihat PPBM mati tidak berkubur,” katanya sambil menambah beliau sangat sayangkan partinya.

Maklum bahawa ramai yang menyertai PPBM kerana Mahathir, beliau bagaimanapun berkata parti itu lebih diutamakan daripada individu.

“Saya nak lihat PPBM kuat dan kukuh. Sayang saya pada PPBM mengatasi sayang saya pada Tun dan TSMY (Muhyiddin).”

Mengenai khabar angin beliau berpaling tadah, Shahruddin berkata beliau akan melakukannya sekiranya itu dapat memperkukuhkan PPBM.

“Andai kata saya perlu meninggalkan rakan-rakan PN dan kembali semula kepada PH dan di situ ada jaminan PPBM akan kuat dan terus hidup, maka saya akan juga sedia lakukan.”

Shahruddin juga berkata akan ada pertanyaan mengenai apa yang akan dipertaruhkan untuk PPBM pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya adalah ahli Parlimen Sri Gading. Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah kepada calon PPBM bertanding di Parlimen Sri Gading di PRU15 nanti?

“Itu juga adalah jawapan kepada satu soalan pokok. Lebih selamatkah PPBM dalam PN atau dalam PH?”