67.2% pekerja bekerja semula selepas kerajaan buka ekonomi

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kira-kira 10.25 juta pekerja yang mula bekerja semula sehingga 17 Mei lalu merangkumi pelbagai sektor ekonomi seperti perkhidmatan, pertanian, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kira-kira 10.25 juta atau 67.2% pekerja sudah mula bekerja semula sehingga 17 Mei lalu, menurut laporan Jabatan Perangkaan, peningkatan daripada 6.64 juta atau 43.6% pada 10 Mei lalu.

Beliau berkata, angka itu mengambil kira mereka yang bekerja dari rumah dan merangkumi pelbagai sektor ekonomi seperti perkhidmatan, pertanian, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian.

“Peningkatan angka pekerja yang bekerja semula menunjukkan pembukaan ekonomi pada 4 Mei oleh kerajaan, alhamdulillah, setakat ini berjalan dengan lancar untuk membolehkan pekerja mencari rezeki harian,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Ke-7 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat semalam.

Menyentuh isu pengekalan pekerjaan, Tengku Zafrul berkata, berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan bertarikh 29 Mei, kadar pengangguran pada suku pertama 2020 berada pada tahap 3.5%.

“Memandangkan betapa seriusnya cabaran Covid-19 kepada ekonomi kebanyakan negara, ini merupakan peningkatan yang masih dalam kawalan berbanding 3.3% pada suku sebelumnya.”

Sebagai perbandingan, Tengku Zafrul berkata, kadar pengangguran pada suku pertama di Filipina adalah 5.3% daripada 4.5% pada suku sebelumnya, Sepanyol 14.41%, peningkatan daripada 13.78% pada suku sebelumnya dan New Zealand 4.2% daripada 4% pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, ia menunjukkan Covid-19 memberi kesan kepada pekerjaan di peringkat global.

Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima, kerajaan mendapati situasi yang dihadapi orang ramai dan perniagaan amat mencabar.

Beliau berkata, sebagai contoh, setiap 4 daripada 10 pekerjaan bergantung kepada industri pelancongan, iaitu antara yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, sektor industri pendidikan tinggi yang bernilai RM35 bilion kepada ekonomi negara pula, bakal menghadapi cabaran ekoran kekangan menarik pelajar antarabangsa.

“Daripada 67% pekerja yang telah kembali bekerja, masih ada kira-kira 5 juta pekerja pelbagai sektor yang belum memulakan pekerjaan, antaranya disebabkan berada dalam senarai aktiviti dilarang atau prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk memastikan faktor keselamatan dan kesihatan terjamin.”

Tengku Zafrul berkata, menurut dapatan syarikat kajian Ipsos, 62% daripada rakyat Malaysia sangat bimbang terhadap ancaman Covid-19 kepada mereka.

“Tahap kebimbangan ini adalah yang tertinggi dalam kalangan warga negara-negara lain.”

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan peka terhadap cabaran yang dihadapi pekerja dan rakyat.

Katanya, kerajaan tidak mengambil mudah kesan Covid-19 ke atas nyawa dan kehidupan, serta sentiasa memikirkan langkah yang boleh diambil bagi menangani cabaran dihadapi.

“Pakej Prihatin antara manifestasi usaha yang diambil kerajaan demi rakyat dan negara.”