93 kes jangkitan baru Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA: Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 115 orang.

Dalam perkembangan sama, 93 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 7,970 orang sehingga kini.

“Ingin dimaklumkan daripada 93 kes baharu yang dilaporkan, semua kes adalah penularan di dalam negara, di mana 91 kes melibatkan bukan warganegara.

“55 kes adalah dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan 36 kes dari Kluster Pedas. Hanya 2 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Ketika ini, seramai 1,324 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 6 di unit rawatan rapi dengan 2 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Hisham mengumumkan 61 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 6,531 orang sehingga kini.