Badan pemikir beri amaran peningkatan penyakit tidak berjangkit

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, peningkatan trend NCD menunjukkan sumber yang dibelanjakan tidak mencukupi untuk menambah baik kadar celik kesihatan.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir memberi amaran sistem penjagaan kesihatan awam tidak mampu bertahan jika penyakit tidak berjangkit (NCD) terus meningkat.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan Malaysia berdepan krisis NCD.

Laporan tinjauan itu menunjukkan 8.1% atau 1.7 juta orang dewasa di Malaysia, berumur 18 tahun ke atas mempunyai 3 faktor risiko kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Jumlah pesakit kencing manis bertambah, dengan 3.9 juta orang dewasa menghidap penyakit itu tahun lalu berbanding 3.5 juta pada 2015, ketika tinjauan NHMS terdahulu dikeluarkan.

Tinjauan 2019 turut menunjukkan 52.6% orang dewasa menghidap obesiti abdomen berbanding 48.6% pada 2015, pembantutan dalam kalangan kanak-kanak meningkat daripada 17.7% pada 2015 kepada 21.8% pada 2019 dan 95% orang dewasa tidak makan buah atau sayur mencukupi.

Azrul berkata, satu daripada masalah utama ialah sikap acuh tak acuh terhadap NCD.

“Krisis NCD di Malaysia juga rumit kerana ia dikaitkan dengan isu ketidaksamaan sosio-ekonomi, kenaikan kos dalam pilihan makanan mampu beli, kemajuan teknologi yang meningkatkan tabiat banyak duduk dan ramai percaya sistem penjagaan kesihatan awam sentiasa ada untuk merawat mereka.”

Beliau memetik satu tinjauan pada 2011 yang mendapati kos merawat kencing manis di Malaysia ialah RM2 bilion atau 2% daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan untuk tahun itu.

“Jika anda masukkan gabungan kos kewangan dan kerugian ekonomi akibat kehilangan produktiviti dan kesihatan kerana 5 NCD teratas, ia menjadi malapetaka.

“Sistem penjagaan kesihatan kita tidak mampu bertahan pada kadar ini.”

Azrul berkata, peningkatan trend NCD menunjukkan sumber yang dibelanjakan tidak mencukupi untuk menambah baik kadar celik kesihatan.

Katanya, undang-undang saja tidak mencukupi kerana pihak berkuasa tidak boleh menentukan cara rakyat menjaga kesihatan diri.

Beliau berharap dapat melihat “komitmen kukuh” dalam Rancangan Malaysia akan datang untuk inisiatif bagi menangani krisis NCD.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N Ganabaskaran berkata, penemuan NHMS membimbangkan, tetapi tidak mengejutkan.

“Jika isu ini tidak ditangani, kita akan melihat peningkatan dalam kes strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang serta penyakit berkaitan.

“Mereka yang tidak mempunyai insurans perubatan atau tidak cukup dilindungi mungkin tiada pilihan kecuali mendapatkan rawatan di kemudahan penjagaan kesihatan awam, yang sudah melebihi hadnya.”

Katanya, penekanan kerajaan terhadap pencegahan perlu disampaikan dengan lebih baik kepada sekolah, tempat kerja dan di peringkat keluarga.

Beliau berkata, sekolah perlu meningkatkan penekanan dalam latihan fizikal, sukan dan nutrisi, manakala ibu bapa perlu menunjukkan teladan baik dengan menggalakkan anak mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kesihatan perlu juga ditekankan di tempat kerja dengan pemeriksaan kesihatan tetap yang wajib untuk semua pekerja setiap tahun.”

Beliau kesal ramai yang hanya memikirkan kesihatan sendiri pada usia 40-an, 50-an atau apabila mereka menghadapi masalah kesihatan.