Banting dikenakan PKPD pentadbiran, kata menteri

Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat 2 jenis PKPD, iaitu PKPD pentadbiran dan bukan pentadbiran.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengesahkan Taman Langat Murni di Banting, Selangor dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pentadbiran.

Katanya, terdapat 2 jenis PKPD, iaitu PKPD pentadbiran dan bukan pentadbiran yang dilaksanakan di Selangor Mansion serta Pasar Borong Selayang.

Beliau berkata, penduduk Taman Langat Murni yang dikenakan PKPD pentadbiran dibenarkan keluar masuk, walaupun pagar kawat duri dipasang di kawasan sekitarnya.

“Dari segi saringan kesihatan, sama saja semua penduduk di kawasan (PKPD) ini (perlu lakukan), cuma beza PKPD (bukan pentadbiran) langsung tak boleh keluar,” katanya pada sidang media hariannya.

Terdahulu, FMT melaporkan Taman Langat Murni di Banting dikenakan PKPD dengan polis dan anggota tentera memasang pagar kawat duri tengah malam tadi.

Sumber dari Pejabat Daerah Kuala Langat memberitahu FMT, kawasan itu dikenakan PKPD selepas lebih 20 warga asing disahkan positif Covid-19.

Satu dokumen polis yang dilihat FMT menunjukkan PKPD itu berkuat kuasa 8 malam Selasa.

Kawasan terakhir yang dikenakan PKPD sebelum ini ialah kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya pada 10 Mei lalu, selepas 26 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan peniaga dan pekerja di pasar basah itu.