Fizi tampil dengan video khas minta maaf kepada Upin dan Ipin

Video permohonan maaf oleh Fizi turut memaparkan pasangan kembar Upin dan Ipin yang menonton rakan mereka itu.

Baru-baru ini kecoh di ruangan media sosial Indonesia dan Malaysia apabila watak Fizi yang juga rakan kepada Upin dan Ipin dalam siri animasi itu dilihat menyinggung perasaan pasangan kembar itu dalam salah satu episod raya mereka sebelum ini.

Tindakan Fizi yang mengatakan tiada syurga buat anak-anak yatim kerana mereka tidak mempunyai ibu bukan saja membuatkan pasangan kembar itu sedih tetapi turut mengundang kemarahan para peminat setia siri animasi itu.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari isu tersebut berlarutan dengan para peminat meminta Fizi membuat permohonan maaf, akhirnya syarikat penerbit Les’ Copaque tampil dengan video permohonan maaf oleh Fizi yang dikongsikan di media sosial mereka.

“Berdirinya saya di sini untuk memohon maaf kepada Upin dan Ipin.

“Fizi tak sengaja salah cakap hari tu, lepas kena cubit dengan Mail, Fizi dah insaf,” jelas Fizi dalam video tersebut.

Video tersebut bukan sahaja menampilkan permohonan maaf oleh Fizi tetapi turut memaparkan pasangan kembar Upin dan Ipin yang menonton permohonan maaf oleh rakan mereka itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]