Geng basikal lajak, mat rempit termasuk dalam pindaan Akta 333, kata menteri

Wee Ka Sioang berkata Akta 333 berkaitan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau pemanduan secara berbahaya seperti geng basikal lajak dan mat rempit.

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata pengguna jalan raya di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau sesiapa saja termasuk geng basikal lajak atau mat rempit juga termasuk dalam pindaan Akta 333.

Beliau berkata ia berikutan terdapat pertanyaan dan pandangan mengapa tiada tindakan terhadap golongan terbabit.

“Kenapa hanya meminda undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras.

“Untuk makluman, pindaan yang dicadangkan bagi Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) adalah berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau pemanduan secara berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Wee berkata isu pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk merupakan topik hangat yang dibincangkan sejak kebelakangan ini dan beliau akan terus meneliti dan memantau secara serius mengenai perkara ini.

Beliau terbuka dan mengalu-alukan sebarang pandangan semua pihak.

Wee juga berkata isu pemandu yang dipengaruhi alkohol atau dadah ini tidak ada kaitan langsung dengan orang Islam ataupun bukan Islam.

Katanya, sebaliknya ia lebih menjurus kepada soal keselamatan jalan raya.

“Cadangan pindaan akta yang akan dimuktamadkan ini adalah bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang memandu secara merbahaya sehingga memudaratkan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain dan ianya tidak ada kaitan dengan mana-mana kaum.

“Sesuatu tragedi atau kemalangan jalan raya yang berlaku itu tidak mengenal kaum,” katanya.

Wee berkata disebabkan itu, mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya merupakan langkah terbaik dalam usaha mencegah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya yang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya berharap kita semua tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik supaya bersama-sama menyokong pindaan Akta 333 ini,” katanya.