Institusi keluarga akan terkena impak, Anwar gesa atasi pengangguran segera

Anwar Ibrahim

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim menggesa Putrajaya segera mencari penyelesaian kepada kadar pengangguran yang akan meningkat, selepas beberapa institusi ekonomi menjangkakan antara setengah hingga 1 juta orang akan dibuang kerja.

“Ini sangat merunsingkan,” kata presiden PKR itu di Facebook hari ini, mengatakan masalah pengangguran bukan sahaja beri kesan pada individu tetapi juga mendatangkan impak pada institusi keluarga.

“Apabila seseorang hilang pekerjaan dan hilang pendapatan, mereka tidak boleh membayar sewa rumah dan persekolahan anak-anak juga akan terjejas.”

PKR mengusulkan kerajaan mengambil langkah untuk melihat permasalahan ini secara menyeluruh, kerana setakat ini, katanya, kerajaan hanya kemukakan pakej rangsangan ekonomi.

“Tetapi penyelesaian masalah ini masih tidak ada. Saya tahu ada keterbatasan ketika ini tetapi kerajaan perlu mengadakan sesi perbincangan lebih luas.

“Ia tentang bagaimana boleh menggerakkan kegiatan ekonomi awal dengan cara terbatas, tetapi tidak menjejaskan kepentingan dan keselamatan rakyat serta dapat mengurangkan beban,” katanya.

Jabatan Perangkaan melaporkan kadar pengangguran diunjurkan dalam lingkungan 3.5% hingga 5.5%, kesan daripada penularan wabak Covid-19. Bank Negara dalam laporan pertumbuhan ekonomi suku tahun pertama menjangkakan kadar pengangguran mencecah 4% tahun ini.

Menurut Anwar, kadar pengangguran pada Mac dan April hanya permulaan kesan Covid-19. Beliau berpandangan kesan lebih besar akan dapat dilihat pada suku tahun kedua “sekiranya negara masih belum bersedia”.

“Sebahagian program bantuan subsidi dan upah diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi persatuan itu merasakan bantuan yang diberi belum cukup untuk mempertahankan PKS.”