Cuai… Kanak-kanak tergantung 2 minit pada lif gara-gara pakai tali keselamatan!

Tali keselamatan tersangkut pada pintu lif, menyebabkan seorang kanak-kanak tergantung hampir 2 minit. (Gambar Twitter)

Tali keselamatan sering menjadi pilihan ramai ibu dan bapa dalam memastikan keselamatan anak ketika berada diluar.

Sama ada dipakaikan di pergelangan tangan atau disangkut di bahu seperti memakai beg, itulah pilihan yang ada untuk ibu bapa mengawal pergerakan anak ketika berada di tempat awam.

Ia sedikit sebanyak memberi kebebasan kepada anak untuk berjalan sendiri dalam pengawasan ibu bapa.

Namun kecuaian tetap berlaku terutama sekali bagi ibu bapa yang sering leka.

Inilah yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak di China, yang dipasangkan tali keselamatan nyaris menempa maut apabila tergantung pada pintu lif kira-kira 2 minit.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku selepas kanak-kanak itu melangkah masuk ke dalam lif bersendirian dengan tangan yang terikat pada pergelangan tangannya.

Namun belum sempat pengasuhnya masuk, lif itu tertutup sendiri.

Lif itu bergerak menyebabkan kanak-kanak itu tergantung pada pintu lif selama hampir 2 minit.

Mujur lif itu berhenti selepas mengesan pergerakan luar biasa didalamnya dan mode kecemasan diaktifkan selepas insiden terbabit berlaku.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kanak-kanak itu diselamatkan oleh pasukan penyelengaraan bangunan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]