Lagi pelajar Thailand transit di Malaysia positif Covid-19

38 warga Thailand yang tiba di Kuala Lumpur dari Arab Saudi dan menaiki bas ke negera itu menerusi ICQS, Padang Besar, Perlis, pada 25 Mei lepas. (Gambar Bernama)

BANGKOK: Seorang lagi pelajar Thailand yang pulang dari Arab Saudi melalui sempadan Malaysia disahkan positif Covid-19.

Pelajar lelaki berusia 26 tahun itu merupakan kes Covid-19 terbaru direkodkan di Thailand dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif pandemik berkenaan di negara ini kini mencecah 3,084, namun tiada kematian dilaporkan dan jumlah angka korban akibat Covid-19 kekal 58 orang.

Penolong Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata pelajar terbabit bersama 38 lagi warga senegaranya tiba di Kuala Lumpur dari Arab Saudi dan menaiki bas ke Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Padang Besar, Perlis, pada 25 Mei lepas.

“Pesakit itu yang menjalani kuarantin selama 14 hari di Wilayah Selatan Pattani disahkan positif Covid-19 dalam ujian ke-2,” katanya pada sidang media harian, hari ini.

Setakat ini 10 pelajar Thailand daripada keseluruhan 39 penumpang bas disahkan positif virus itu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) melanjutkan larangan ketibaan penumpang penerbangan antarabangsa sehingga 30 Jun ini, bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun larangan tersebut dikecualikan kepada pesawat kerajaan atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan atas sebab teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan juga pesawat kargo.