Lebih 16,700 pekerja industri pelancongan di Jepun hilang kerja

Tokyo Shoko Research Limited merekodkan lebih 200 kes muflis didaftarkan di Jepun. (Gambar AP)

TOKYO: Lebih 16,700 pekerja di Jepun, terutama dalam industri perhotelan, diberhentikan kesan daripada wabak Covid-19, memetik Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan lapor agensi berita Sputnik.

Menurut NHK, sejak akhir Januari hingga 29 Mei, lebih 3,700 pekerja hotel diberhentikan, 2,287 petugas syarikat mengendalikan bas pelancongan dan teksi serta 2,122 kakitangan dalam sektor lain yang berkaitan ditamatkan perkhidmatan.

Jumlah mereka yang diberhentikan kerja paling ramai dicatatkan di Tokyo iaitu seramai 2,495 orang diikuti wilayah Osaka 1,789 dan Hokkaido berjumlah 1,025.

Pada akhir Mei, jumlah pekerja menurun sebanyak 800,000 pada April, penurunan pertama dalam tempoh lebih 7 tahun.

Jumlah mereka yang bekerja pula seramai 66.28 juta orang. Seramai 1.89 juta lagi mendaftar sebagai penganggur pada April pertambahan sebanyak 130,000 tahun ke tahun.

Angka itu meningkat untuk bulan ke-3 berturut-turut. Pengangguran pada April berjumlah 2.6% iaitu 0.1 mata lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

Agensi berita Kyodo melaporkan pada Rabu, memetik data dikumpulkan Tokyo Shoko Research Limited, lebih 200 kes muflis didaftarkan. Jumlah hutang setiap syarikat sekitar $100,000.