Lelaki dikaitkan gangguan dalam talian minta maaf

Satu pertikaian politik berhubung keadaan teruk di pusat kuarantin Likas menyebabkan satu laporan polis dibuat mengenai gangguan seksual dalam talian.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang didakwa mengganggu seorang wanita di media sosial bagi mendapatkan penjelasan daripada seorang pemimpin DAP Sabah mengenai keadaan teruk di sebuah pusat kuarantin di sini tampil memohon maaf kepadanya.

Lelaki berusia 55 tahun itu berkata, beliau berdepan isu kewangan susulan sekatan pergerakan separa Covid-19 dan kesal dengan tindakannya.

“Saya ingin menyampaikan rasa kesal dan mohon maaf. Tindakan saya tidak wajar dan tidak boleh diterima langsung.

“Walaupun saya tahu ia bukan alasan, saya melalui masa sangat sukar dan saya berharap anda boleh memaafkan saya,” katanya dalam satu surat terbuka yang dilihat FMT semalam.

Lelaki itu, yang mendedahkan identitinya, memberitahu FMT beliau bukan ahli DAP atau ada kaitan dengan mana-mana parti. Pemimpin DAP Sabah turut menafikan sebarang pembabitan dengannya.

Menyifatkan dirinya pendidik bebas, lelaki itu berkata, tindakannya tidak wajar, tidak matang dan dia sepatutnya menghormati wanita itu serta keluarganya.

Nicole Ava mendakwa beliau berdepan gangguan seksual oleh lelaki itu berhubung pertikaian politik membabitkan pusat kuarantin Likas yang dimuat naik ke laman Facebook Ahli Parlimen Kota Kinabalu daripada DAP Sabah, Chan Foong Hin.

Bapanya membuat laporan di Balai Polis Kota Kinabalu berhubung insiden itu kerana Ava memohon penjelasan daripada beberapa pemimpin DAP Sabah mengenai insiden berkenaan.

Ava membuat aduan rasmi kepada Jabatan Kesihatan pada 16 Mei lalu berhubung keadaan di pusat kuarantin itu, tetapi tiada tindakan diambil.

Katanya, beliau mahu menyuarakan aduannya kepada Chan dan memberi maklum balas terhadap catatannya di Facebook. Beliau berkata, gangguan dalam talian bermula selepas itu.

Ava ketika dihubungi berkata, beliau tidak menerima permohonan maaf lelaki itu dan tiada jaminan insiden sedemikian tidak akan berulang.

“Permohonan maafnya tidak melindungi individu yang tidak mampu mempertahankan diri seperti kami apabila insiden sedemikian berlaku lagi.

“Kelemahan dalam akta gangguan seksual kita menjadikannya sukar untuk mangsa mendapatkan keadilan.