MTUC gesa moratorium pinjaman dilanjut 6 bulan lagi

Moratorium pembayaran balik pinjaman perumahan dan kereta selama 6 bulan sedia ada akan berakhir September ini.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa moratorium pembayaran balik pinjaman perumahan dan kereta selama 6 bulan dilanjutkan setengah tahun lagi.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata inisiatif itu yang diperkenalkan Mac lalu, banyak membantu pekerja.

“(Melanjutkan 6 bulan lagi) akan memberi banyak manfaat kepada ribuan pekerja yang hilang kerja atau dipaksa menerima potongan gaji yang banyak, menyebabkan mereka tidak mampu membayar pinjaman dalam tempoh sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan mencari jalan untuk membantu pekerja mengekalkan pekerjaan, melindungi mereka daripada potongan gaji tidak adil serta mengurangkan perbelanjaan isi rumah.

Daripada menggunakan kaedah konvensional seperti memberi bayaran tunai “one-off”, katanya, Putrajaya patut memperkenalkan kaedah untuk menyediakan jaring keselamatan mapan kepada pekerja.

Beliau mengkritik langkah membenarkan pekerja mengeluarkan simpanan KWSP mereka untuk menampung perbelanjaan isi rumah dan menggunakan dana Perkeso untuk membayar kos pemeriksaan kesihatan kerana ia tidak produktif bagi kepentingan mereka.

Beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan dengan serius untuk menggunakan sebahagian daripada rizab asingnya yang cukup besar.

“(Ini) sesuatu yang negara lain sudah lakukan untuk memastikan kebajikan dan punca pendapatan pekerja dilindungi.

“(Ia akan) memberi makna kepada ikrar perdana menteri yang tiada orang ketinggalan dalam usaha kerajaan menangani krisis Covid-19.”