PKPD pentadbiran di Banting ada kaitan kluster tukang cuci warga asing

Penduduk Taman Langat Murni yang dikenakan PKPD pentadbiran dibenarkan keluar masuk, walaupun pagar kawat duri dipasang di kawasan sekitarnya. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berkata Taman Langat Murni di Banting, Selangor dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pentadbiran kerana ada kaitan dengan kluster syarikat pembersihan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana asrama tempat tinggal mereka adalah di taman tersebut.

“Jadi kita melihat penduduk di sana terdedah dan sebab itu jika ada lokasi atau kumpulan sasaran dikesan, kita akan lakukan langkah kawalan di kawasan tersebut.

“Tetapi ini hanya PKPD pentadbiran, dan mereka masih boleh keluar masuk. Cuma kita buat saringan semua penduduk di kawasan itu,” katanya pada sidang media harian.

Jumaat lalu, KKM mengenal pasti 1 lagi kluster melibatkan pekerja bukan warganegara dari sebuah syarikat pembersihan.

Sebelum itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengesahkan Taman Langat Murni di Banting, Selangor dikenakan PKPD pentadbiran.

Ismail berkata, penduduk Taman Langat Murni yang dikenakan PKPD pentadbiran dibenarkan keluar masuk, walaupun pagar kawat duri dipasang di kawasan sekitarnya, selain KKM terus memantau kawasan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Hisham berkata keputusan untuk pembukaan sekolah masih belum diketahui.

Beliau bagaimanapun berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk pembukaan sekolah telah siap.

“Garis panduan telah disiapkan hasil. Apa yang pasti adalah kita boleh tambah baik garis panduan tersebut ikut keperluan semasa,” katanya.

Noor Hisham juga yakin dengan kemampuan SOP yang dibuat untuk pembukaan sekolah.

“Kita harap pelaksanaan berjalan lancar dan ini perancangan kita.”