Saifuddin batal arahan penggunaan spektrum 5G kerana isu teknikal

Sebelum ini Putrajaya dilaporkan menawarkan spektrum 5G kepada beberapa syarikat, termasuk Altel yang dikuasai Syed Mokhtar al-Bukhary. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Saifuddin Abdullah membatalkan arahan dan penentuan berkenaan penggunaan spektrum dalam jalur frekuensi 700MHZ, 900MHZ dan 2600MHZ.

Saifuddin berkata, atas dasar isu teknikal, undang-undang dan perlunya proses telus, beliau mengarahkan pengerusi SKMM membatalkan arahan dan penentuan yang dibuat sebelum ini, serta mengkaji instrumen tersebut dengan segera.

“Pengurusan dan penguntukan spektrum ini adalah penting untuk pembangunan negara melalui perkembangan pelbagai sektor seperti perkhidmatan sektor telekomunikasi, penyiaran, sains dan teknologi, kesihatan, maritim dan sebagainya.

“Sehubungan dengan itu, 18 instrumen termasuk arahan dan penentuan berkenaan penggunaan spektrum jalur frekuensi 700MHz, 900MHz dan 2600MHz dibentangkan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin Abdullah

Terdahulu, FMT melaporkan Putrajaya menawarkan spektrum telekomunikasi 5G kepada beberapa syarikat, termasuk Altel yang dikuasai taikun Syed Mokhtar al-Bukhary.

The Straits Times (ST) melaporkan keputusan pada 15 Mei itu, “nampaknya dibuat tanpa tender terbuka”, ditandatangani Menteri KKMM, Saifuddin Abdullah. Keputusan itu juga belum diumumkan.

Satu sumber mengesahkan dakwaan laporan itu kepada FMT, mengakui kontrak itu sudah ditawarkan.

Saifuddin berkata, sumber spektrum merupakan aset negara yang diuruskan SKMM, di bawah KKMM. Manakala, pengurusan dan kawal selia penggunaan spektrum adalah kepada peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000.

“Kerajaan melalui KKMM komited dalam usaha untuk membangunkan negara serta memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam teknologi dan telekomunikasi, capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan kemudahan ICT terkini serta berkualiti tinggi,” katanya.

Januari lalu, Bloomberg melaporkan Malaysia menawarkan gelombang udara bagi rangkaian 5G pada kos rendah kepada pengendali bagi mengurangkan pelaburan yang diperlukan untuk perkhidmatan tanpa wayar yang lebih laju.