Syarikat dikuasai taikun Syed Mokhtar antara penerima spektrum 5G

Taikun perniagaan, Syed Mokhtar al-Bukhary.

PETALING JAYA: Kerajaan menawarkan spektrum telekomunikasi 5G kepada beberapa syarikat, termasuk Altel yang dikuasai taikun Syed Mokhtar al-Bukhary.

The Straits Times (ST) melaporkan keputusan pada 15 Mei itu, “nampaknya dibuat tanpa tender terbuka”, ditandatangani Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah. Keputusan itu juga belum diumumkan.

Satu sumber mengesahkan dakwaan laporan itu kepada FMT, mengakui kontrak itu sudah ditawarkan.

Januari lalu, Bloomberg melaporkan Malaysia menawarkan gelombang udara bagi rangkaian 5G pada kos rendah kepada pengendali bagi mengurangkan pelaburan yang diperlukan untuk perkhidmatan tanpa wayar yang lebih laju.

Kerajaan – ketika itu yang di bawah pimpinan Pakatan Harapan – akan melepaskan pendapatan daripada lelongan spektrum dan sebaliknya memberikan gelombang udara kepada sebuah konsortium pengendali melalui satu tender selepas April.

Tetapi, ST melaporkan hasil semakan di laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati tiada tender dibuka.

Eksekutif daripada pelbagai syarikat telekomunikasi turut memberitahu akhbar Singapura itu, mereka tidak tahu mengenai sebarang pelawaan untuk membida spektrum terbabit.

“Ini pelik kerana beberapa syarikat yang mendapat tawaran ialah syarikat senaraian awam. Mereka perlu mengumumkannya kepada bursa saham sebaik saja mereka tahu kerana ia membabitkan yuran ratusan juta,” kata seorang eksekutif yang enggan dinamakan.

Menurut ST, Maxis, Celcom dan DiGi ditawarkan 2 jalur 10 megahertz (2x10MHz).

Altel, anak syarikat Puncak Semangat milik Syed Mokhtar, diberikan 2x5MHz “walaupun merupakan pemain kecil”.

Telekom Malaysia turut diberikan 2x5MHz.

FMT sudah menghubungi Saifuddin dan sedang menunggu maklum balasnya.