Covid-19 dikategori di bawah ‘jangkitan mengancam nyawa’, kata menteri

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini berkata, pada ketika ini wabak Covid-19 dikategorikan bawah Perkara 30, Jadual Pertama Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, iaitu “apa-apa jangkitan microbial yang mengancam nyawa”.

Adham berkata, pindaan kepada Jadual Pertama, akta tersebut bagi menyenaraikan wabak Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dibuat melalui kuasa menteri di bawah Seksyen 30, akta yang sama.

“KKM merujuk kepada dakwaan sesetengah pihak kononnya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh kerajaan persekutuan adalah tidak mengikut lunas undang- undang.

“Hal ini kerana wabak Covid-19 tidak diwartakan sebagai penyakit berjangkit di bawah Jadual Pertama, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Covid-19 merupakan pandemik baru yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Pada 17 Mei, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong mempersoalkan keesahan PKP selepas berkata, beliau tidak menemui Covid-19 disenaraikan sebagai penyakit berjangkit yang dijadualkan.

Liew berkata, kajiannya terhadap Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit menunjukkan ia “sangat tidak jelas” sama ada kerajaan sudah mentakrifkan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dalam jadual itu.

Liew juga berkata, kebimbangan mengenai peraturan dikenakan oleh kerajaan agar orang ramai mengamalkan penjarakan sosial (mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain).

Beliau berkata, ia tidak boleh dikuatkuasakan berikutan tiada undang-undang yang mentakrifkan keperluan itu.