Keperluan merancang strategi keluar dengan baik

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berjalan, kita berharap kerajaan dapat merancang strategi keluar yang berjaya secepat mungkin.

Hal ini tidak boleh ditangguh lagi. Sekarang merupakan waktu yang ideal untuk mempersiapkan, menyusun, dan merumuskan strategi keluar sementara menunggu rakyat menyesuaikan diri dengan norma baru.

Langkah ini dapat menghalang kerajaan daripada membuat keputusan yang salah serta dapat memberi kesejahteraan kepada negara dan meningkatkan prestasi ekonomi kita dengan kadar segera.

Menurut Michael Baker, profesor dari Jabatan Kesihatan Awam di Universiti Otago di New Zealand, kelonggaran sekatan harus dilakukan seiring dengan kawalan sempadan yang baik, mengenal pasti kes dan kontak rapat dengan pantas, pemantauan yang meluas, sokongan sistem pengawasan, dan kuarantin.

New Zealand merupakan salah satu negara yang patut dicontohi kerana negara ini mempunyai tahap penyertaan masyarakat yang tinggi dan disokong oleh sistem kesihatan awam yang utuh.

Walaupun kerjasama awam masih tidak mendapat sokongan yang tinggi di Malaysia dan sistem kesihatan awam kita juga tidak sehebat New Zealand tetapi kita masih perlu mencontohi bagaimana negara itu bersiap sedia untuk “strategi penghapusan”.

Strategi tersebut membolehkan pembangunan semula ekonomi domestik dengan kadar segera dan mengelakkan penderitaan disebabkan sekatan yang berpanjangan ketika kes penularan meningkat dan mengawal kembali situasi semasa.

Sementara itu, berdasarkan pengalaman daripada Australia, negara itu juga mempertimbangkan 3 isu sebelum sekatan ditamatkan iaitu sistem pemantauan yang lebih ketat, industri pengesanan kontak rapat dan kemampuan tindak balas tempatan yang lebih baik.

Strategi keluar tidak bermaksud menjalankan perniagaan seperti biasa tetapi ia merupakan versi penutupan dan penyekatan yang lebih fleksibel di mana syarikat tertentu tetap tidak boleh beroperasi dan orang ramai mestilah terus tinggal di rumah kecuali bekerja atau melakukan perjalanan penting.

Kerajaan juga harus berhati-hati dalam memilih waktu yang sesuai untuk melaksanakan strategi keluar kerana kita harus melakukannya dengan melihat prestasi semasa kita dalam memerangi virus pandemik ini serta meninjau bagaimana negara-negara lain menangani hal yang sama.

Ini kerana orang ramai pasti tidak mahu kerajaan melambatkan pelaksanaan strategi keluar sebaik sahaja PKPB ditamatkan kelak.

Strategi keluar juga memerlukan orang ramai untuk mengadaptasi standard baru dengan berkesan dan para peniaga perlu membuat beberapa perubahan dalam lanskap perniagaan untuk kelangsungan perniagaan mereka dan potensi pertumbuhan.

Norma baru atau garis panduan (tatacara operasi standard) akan merangkumi amalan penjarakkan sosial, amalan mencuci tangan, penggunaan pembersih tangan, dan memakai topeng ketika berada di tempat awam serta inisiatif lain dengan tanggungjawab sosial untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Menurut KPMG, terdapat 7 bentuk peralihan landskap perniagaan iaitu peralihan ke arah globalisasi, digitalisasi, “wang tunai adalah penentu” untuk perniagaan, model kos berubah, bangunan dan menara kawalan yang pintar, mengekalkan rantaian bekalan dengan betul, dan membina keupayaan untuk cepat bertindak balas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan PKPB menunjukkan beberapa tanda positif kerana kita berjaya mengekalkan kes harian pada angka 2 digit sebelum Aidilfitri.

Dia juga mengatakan jika orang ramai mengikuti SOP kerajaan mengenai pandemik Covid-19, kes penularan tempatan dijangka akan terus menurun.

Oleh itu, pihak berkuasa berkaitan perlulah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menyiapkan strategi keluar yang berjaya tanpa berlengah lagi dengan mempertimbangkan pelbagai kriteria penting termasuklah kadar pematuhan orang ramai terhadap SOP.

Terdapat 6 kriteria strategi keluar oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia yang boleh dipertimbangkan iaitu:

  • Penularan Covid-19 yang terkawal;
  • Sistem kesihatan dapat mengenalpasti, menguji, mengasingkan, dan mengkuarantin semua kes dan menjejaki semua kontak rapat;
  • Kawasan-kawasan yang berisiko diminimumkan;
  • Penjarakan fizikal dan mencuci tangan dipraktikkan;
  • Kes import baru terkawal; dan
  • Masyarakat bersetuju untuk hidup dalam norma baru.

Ini kerana kita tahu penerapan norma-norma baru akan menjadi kejutan budaya bagi ramai orang. Bagaimanapun, sebilangan orang masih terlalu terbiasa dengan amalan yang lama walaupun ia sebenarnya mudah untuk menyesuaikan diri dengan norma baru.

Sesetengah orang juga tidak dapat menerima kenyataan masyarakat harus terus hidup dengan Covid-19 ini bahkan para pakar percaya virus tersebut cenderung menjadi penyakit endemik seperti selesema, HIV, atau cacar air.

Walaupun kes harian Covid-19 baru-baru ini mencapai 3 digit, ini tidak bermakna kita tidak perlu mempertimbangkan untuk mempersiapkan strategi keluar kerana kes tempatan kita masih berada pada angka 2 digit.

PKPB ini juga meninggalkan tanda tanya kepada rakyat kerana ada yang menganggapnya sebagai sebahagian daripada strategi keluar tetapi Hisham menyatakan kita masih berada bawah PKPB dan masih belum memasuki fasa strategi keluar. Oleh itu, rakyat haruslah menjalankan tanggungjawab untuk bekerjasama mengatasi virus ini dengan jayanya dan mempercayai kerajaan serta mengikuti SOP.

Kita juga harus percaya sikap dedikasi kita akan membantu mengurangkan beban petugas barisan hadapan yang kita sayangi dan juga untuk meringankan cabaran-cabaran kerajaan ketika saat-saat sukar ini.

Oleh itu, ketika kerajaan sedang sibuk mempersiapkan SOP dan merancang strategi keluar, kita perlu memainkan peranan kita dengan menerapkan norma-norma baru dan tetap komited untuk bekerjasama dalam memulihkan keselamatan kesihatan awam dan ekonomi.

Farhan Kamarulzaman merupakan pembantu penyelidik di EMIR Research.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.