Kes Covid-19 terus meningkat kepada 28,818 di Indonesia, 1,721 kematian

Lebih 13,000 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19 di seluruh Indonesia. (Gambar AP)

JAKARTA: Kes positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat kepada 28,818 kes, dengan kematian kini berjumlah 1,721 orang.

Menurut jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 585 tambahan kes positif baru dicatatkan, manakala 23 lagi kematian berlaku dalam tempoh berkenaan.

“Seramai 13,416 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya, dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Menurut beliau bagi tempoh berkenaan juga, 486 pesakit sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh dari virus itu kini 8,892 orang.