Langgar arahan penjarakan sosial, penduduk Indonesia didenda kebumi mayat Covid-19

Alternatif untuk individu yang melanggar penjarakan sosial berulang kali dengan menjadi sebahagian daripada pasukan yang mengebumikan mayat pesakit Covid-19. (Gambar AP)

Seluruh dunia kini berusaha keras untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 walau dengan apa jua cara sekalipun.

Ia termasuklah di Indonesia apabila didapati penduduknya sehingga kini susah untuk mematuhi arahan.

Sehubungan itu kerajaannya terpaksa mencari jalan yang lebih ekstrem supaya penduduknya mematuhi larangan yang dikeluarkan.

Seperti penduduk di wilayah Jawa Timur, mereka yang didapati ingkar arahan pematuhan penjarakan sosial bakal berdepan hukuman mengebumikan mayat mangsa Covid-19 atau membersihkan tempat awam.

Ini kerana di Jawa Timur menyaksikan lonjakan jangkitan yang agak tinggi dan sekaligus menjadikannya kawasan kedua terburuk dilanda wabak di negara itu.

Di Tuban dan Sidoarjo, pentadbiran di kedua-dua daerah berkenaan giat mengendalikan pusat pemeriksaan untuk memantau pergerakan keluar masuk ke daerah itu.

“Alternatif lain untuk sekatan sosial bagi individu yang melanggar penjarakan sosial berulang kali adalah menjadi sebahagian daripada pasukan yang mengebumikan mayat pesakit Covid-19.

“Penjual dan pelanggan yang tidak memakai topeng muka di pasar pula akan diminta pulang,” kata ketua daerah Tuban, Fathul Huda seperti dilaporkan Arab News.

Sidoarjo yang merupakan salah sebuah daerah yang mencatatkan jangkitan tertinggi virus di wilayah itu turut mengenakan peraturan sama.

Tuban dan Sidoarjo adalah sebahagian daripada bandar Surabaya di wilayah Jawa Timur yang mengenakan sekatan sosial berskala besar dan berpanjangan.

Sekatan itu dijangka tamat pada 8 Jun ini selepas ia dilanjutkan 3 kali sejak hujung April lalu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]