Melaka kaji semula peraturan penjualan arak

MELAKA: Kerajaan Melaka akan mengkaji semula peraturan penjualan arak bagi mewujudkan garis panduan baru berikutan peningkatan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk, kata Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Kajian akan melibatkan kerjasama polis, kastam, dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Melaka mengambil maklum mengenai kes pemandu bawah pengaruh alkohol yang terbabit dengan kemalangan sehingga menyebabkan kematian orang awam yang tidak bersalah sejak kebelakangan ini.

“Kajian semula ini juga sebagai sokongan penuh terhadap saranan dan cadangan perdana menteri yang mahu Akta Pengangkutan Jalan dipinda agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu disabitkan dengan kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua menteri mengambil serius isu penjualan minuman keras kerana ia turut menyebabkan masalah sosial lain yang lebih besar jika tindakan tegas dan hukuman lebih berat tidak dikenakan.

“Ia juga boleh menyebabkan timbul masalah lain dalam kalangan masyarakat berpunca daripada kehilangan ahli keluarga yang menjadi tunggak keluarga seperti ibu, bapa dan sebagainya,” katanya.