RUU langkah sementara Covid-19 sedang dirangka

RUU Pelaksanaan Langkah Sementara dirangka untuk mengurangkan kesan ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara untuk mengurangkan kesan ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kaji selidik dan cadangan berkaitan RUU itu, yang diuar-uarkan menerusi platform perundingan dalam talian Perbadanan Produktiviti Malaysia iaitu Unified Public Consultation (UPC), akan ditutup esok 5 Jun.

“Sertailah sebahagian usaha ini dan berikan cadangan anda mengenai RUU tersebut,” kata MITI di Twitter.

Seorang responden di UPC mencadangkan kerajaan mewujudkan platform e-dagang bagi semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana e-dagang sedia ada mempunyai peringkat perniagaan yang bercampur-campur, menyebabkan tumpuan kepada pertumbuhan PKS tidak begitu memberi kesan.

Dia juga berpandangan kerajaan persekutuan dan negeri, serta organisasi swasta, perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang atau peraturan bagi memotong semua bonus/insentif/bantuan kewangan (tambahan kepada gaji biasa) untuk dikreditkan kepada platform e-dagang.

“Subsidi juga dapat disalurkan melalui platform ini. Ini akan memastikan semua peluang untuk mendapatkan dana/pendapatan tambahan akan tertumpu kepada pembangunan PKS,” kata responden tersebut.

Responden lain pula menyarankan badan penyelarasan di peringkat pusat untuk semua agensi perlu ditubuhkan, dengan setiap kementerian dan kerajaan negeri mesti mempunyai jawatankuasa penyelarasan pusat untuk menjawab pertanyaan dan kenyataan agensi.