Selang masa Najib terima wang tidak relevan, perbicaraan kes SRC diberitahu

Pendakwa raya ad hoc V Sithambaram membalas hujahan peguam pembelaan Muhammad Shafee Abdullah bahawa naratif pendakwaan ‘pelik’.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan SRC International membabitkan Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa selang masa antara kelulusan jaminan kerajaan dibuat dan masa beliau menerima wang RM42 juta tidak relevan dalam kes itu.

Pendakwa raya ad hoc V Sithambaram berkata demikian ketika menjawab hujah pihak pembelaan bahawa wujud selang masa 3 tahun dari tarikh bekas perdana menteri didakwa menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan jaminan kerajaan kepada sebuah syarikat bagi mendapatkan pinjaman sebanyak RM4 bilion dengan masa beliau menerima RM42 juta daripada syarikat berkenaan.

Terdahulu hari ini, peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa naratif yang dikemukakan oleh pendakwa raya adalah “pelik” dengan berkata, dalam kes rasuah biasa, tertuduh akan meminta suapan yang dijanjikan dalam tempoh yang pendek.

Sithambaram berkata, “kami tegaskan selang masa 3 tahun dari tarikh tertuduh mempengerusikan mesyuarat Kabinet bagi meluluskan jaminan kerajaan yang pertama dengan masa dana SRC didepositkan ke dalam akaunnya tidak relevan.

“Selagi pendakwa boleh menunjukkan wujudnya kaitan antara tindakannya ketika mempengerusikan mesyuarat dan tindakannya sebelum itu, seperti menubuhkan SRC, meluluskan pinjaman kepada SRC, menyediakan kertas Kabinet jaminan kerajaan, sehingga dana SRC dimasukkan ke dalam akaun beliau, kes ini boleh bertahan.”

Beliau berkata, ketua pegawai eksekutif syarikat pada masa itu dan pegawai yang diberi kuasa untuk mengawal akaun Najib, iaitu Nik Faisal Ariff Kamil, merupakan seorang pengarah dan juga penandatangan akaun bank berkenaan.

“Wang boleh digelapkan pada bila-bila masa ia diperlukan.”

Sithambaram berkata, mahkamah harus menimbangkan fakta berkenaan urusan peristiwa yang berlaku, iaitu dari penubuhan SRC International sehingga wang RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun dan digunakan oleh Najib untuk manfaat peribadinya sebagai satu episod tunggal.

“Kami percaya ia adalah skim yang dirancang dan disengajakan oleh tertuduh untuk melakukan perbuatan rasuah dengan matlamat mendapat suapan kewangan. Selang masa antara kelulusan jaminan kerajaan sehingga wang suapan itu diterima tidak mustahak dari segi undang-undang,” katanya.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Selain tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang, Najib juga berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung pindahan wang sebanyak RM42 juta ke akaun miliknya.