SOP alat solek sukar kerana barang mahal, kata jurusolek artis

PETALING JAYA: Jurusolek artis berkata tatacara operasi standard kerajaan bagi bidang mereka, yang menetapkan peralatan khusus untuk setiap individu didandan dan dimekap, sukar kerana masalah harga.

Ketika membenarkan penggambaran filem dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat, pihak berkuasa menetapkan peralatan tidak boleh berkongsi dan tiada percampuran alat mekap.

Seorang jurusolek, Anis bagaimanapun berkata penggunaan barang solek berbeza-beza “memang bukan murah”.

“Alat-alat solek susah sedikit sebabnya terpaksa berkongsi barang lebih-lebih lagi gincu,” katanya kepada FMT.

Penyelesaiannya, kata Anis, setiap artis perlu sediakan peralatan masing-masing. Lagipun, katanya, memang ada artis yang tidak mahu berkongsi barang solek.

“Jika begitu, boleh ikut SOP,” katanya kepada FMT.

Seorang jurusolek, Ewan Naafi senada berhubung SOP barang solek itu. “Takkan nak pakai asing setiap kali solek wajah orang?”

Oleh kerana ia “bukannya murah”, jurusolek kebiasaannya akan membasuh peralatan, seperti span dan berus, dengan sabun setiap kali selesai merias wajah.

Ia tidak jadi masalah jika setiap artis bawa alat solek sendiri. “Jadi tidaklah bercampur dengan yang lain.”

Ewan juga berkata SOP lain seperti pemakaian pelindung muka, sarung tangan, dan pensanitasi boleh dipatuhi.