Thailand timbang fasa akhir longgar sekatan Covid-19 pada 15 Jun

Thailand sedang mempertimbang langkah melonggarkan lagi sekatan dan membuka semula perniagaan dan tempat, termasuk institusi pendidikan, pusat hiburan dan stadium bermula 15 Jun ini. (Gambar AP)

BANGKOK: Thailand sedang mempertimbang langkah melonggarkan lagi sekatan dan membuka semula perniagaan dan tempat, termasuk institusi pendidikan, pusat hiburan dan stadium di bawah fasa ke-4 dan kemungkinan fasa akhir pelonggaran sekatan, bermula 15 Jun.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membuka semula institusi pendidikan, termasuk sekolah, universiti dan pusat tuisyen.

Perniagaan dan tempat lain yang akan dibuka termasuk pusat penjagaan kanak-kanak, prasekolah, pusat sains, taman nasional, pantai, taman tema, dewan acara, konsert dan pameran perdagangan, tambah beliau.

“Pengendali dan penganjur dijemput untuk membincangkan langkah untuk mencegah penularan Covid-19 dan membendung gelombang kedua wabak,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Thailand memulakan fasa pertama pelonggaran sekatan pada 3 Mei, melibatkan 6 jenis perniagaan dan tempat dibuka semula, manakala fasa ke-2 bermula 17 Mei dan fasa ke-3 pada 1 Jun.

Thaweesilp berkata, Thailand melaporkan 17 kes baru Covid-19 semua melibatkan warga Thailand yang kembali dari Timur Tengah dan tiada kematian, menjadikan keseluruhan 3,101 kes dengan 58 kematian.

“Semua pesakit baru menjalani 14 hari kuarantin di fasiliti negeri. Kesemua mereka diuji positif Covid-19 semasa ujian ke-2 makmal mereka.

“Sejak 3 April sebanyak 31,855 rakyat yang kembali dari luar negara dikuarantin di fasiliti negeri di seluruh negara dan 164 daripadanya diuji positif Covid-19,” katanya.

Setakat ini, 2,968 pesakit sembuh dan dibenar keluar hospital, manakala 75 masih lagi menerima rawatan.