Warisan sama seperti BN dalam pelantikan GLC, kata Bersih

Warisan mengumumkan pelantikan ahli Parlimen Penampang Darell Leiking (kiri) sebagai pengersui Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah Sdn Bhd dan ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman sebagai pengerusi badan pelaburan negeri Warisan Harta Sdn Bhd.

KOTA KINABALU: Pemantau pilihan raya Bersih Sabah 2.0 membidas kerajaan negeri pimpinan Warisan kerana memungkiri janji untuk tidak melantik wakil rakyat sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bersih berkata, badan itu dan rakyat Sabah melihat langkah tersebutsebagai mengulangi “kebobrokan” yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Ia berkata, amalan itu diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang dengan menjadikan GLS sebagai alat bagi kepentingan politiknya.

“Bersih Sabah menuntut kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal tidak mewujudkan duluan jelek dengan melantik ahli Parlimen atau Adun untuk mengetuai GLC.

“Berpeganglah janji dan manifesto untuk meningkatkan kehidupan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Shafie, yang juga presiden Warisan, mengumumkan pelantikan ahli Parlimen Penampang Darell Leiking sebagai pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd, dan ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman sebagai pengerusi badan pelaburan negeri, Warisan Harta Sdn Bhd.

Shafie mempertahankan langkah itu dengan berkata, ia adalah untuk kebaikan rakyat kerana ahli Parlimen terbabit mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk memimpin GLC dan memajukan negeri.

Terdahulu hari ini, pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin membidas Shafie dan kerajaan kerana mengingkari janji mereka.

Bersih berkata, pelantikan itu bercanggah sama sekali dengan kenyataan Shafie pada 13 Mei bahawa wakil rakyat tidak akan dilantik untuk mengetuai badan berkanun atau GLC kerana kerajaan mahu memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat.

Ia berkata, rakyat Sabah mahukan amalan politik yang lebih baik dan telus dilaksanakan oleh gabungan Warisan-PKR-DAP-Upko berbanding kerajaan sebelum ini.

“Amalan itu tidak melibatkan perbuatan menjadikan GLC sebagai alat habuan politik.

“Pelantikan sedemikian dalam kalangan orang politik hanya akan menyuburkan politik naungan yang memberi ruang kepada mereka untuk menyalurkan sumber kerajaan bagi memperkuat pengaruh politik masing-masing.”

Bersih berkata, GLS sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat, tetapi digunakan untuk memperkayakan sesetengah golongan, terutama penyokong kerajaan.

“Undi mereka pada pilihan raya umum ke-14 yang bertujuan membawa perubahan akan menjadi sia-sia.”