1 kematian dilaporkan, 19 kes baru Covid-19

PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 61 tahun meninggal dunia hari ini dalam kes berkaitan Covid-19, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 116 orang.

Dalam perkembangan sama, 19 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 8,266 orang sehingga kini.

“Daripada 19 kes baru yang dilaporkan, 7 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 12 kes penularan di dalam negara, 3 kes adalah bukan warganegara dan 9 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Ketika ini, seramai 1,540 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 6 di unit rawatan rapi dengan 1 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, Hisham mengumumkan 51 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 6,610 orang sehingga kini.

Mengenai kematian hari ini, mangsa seorang warga tempatan dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah buah pinggang.

Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 29 Mei dan disahkan meninggal dunia pada 4 Jun 10.20 malam.

Kes kematian ke-116 (kes ke-7733) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mei 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 Jun 2020 jam 10.20 malam.