Abdul Latif dilantik ketua pengarah Kastam baru

Abdul Latif Abdul Kadir

PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Abdul Latif Abdul Kadir sebagai ketua pengarah Kastam baru berkuatkuasa 5 Jun, menggantikan Paddy Abd Halim.

Latif berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 1985, dengan jawatan pertama yang disandang adalah penguasa kastam di ibu pejabat jabatan itu.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti dimiliki Abdul Latif Abdul Kadir akan membolehkan beliau meneruskan aspirasi kastam ke arah pentadbiran kastam bertaraf dunia.

“Saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Paddy atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam selama 37 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Latif kelulusan ijazah sarjana muda sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana sains (pembangunan sumber manusia) dari Universiti Putra Malaysia.

Zuki berkata Latif berpengalaman luas dalam bidang penguatkuasaan, pengurusan pematuhan, perkastaman, dan percukaian serta pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua pengarah Kastam (penguatkuasa dan pematuhan) dan pengarah kastam negeri.