Ahli Parlimen PKR keluar parti, ikrar sokong Muhyiddin, GPS

Ahli Parlimen Lubok Antu mewakili PKR, [email protected] anak Moyang berkata, beliau menyokong penuh kerajaan PN diketuai Muhyiddin Yassin dan GPS. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang yang mewakili PKR sebelum ini mengumumkan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, keputusan itu dibuat kerana kesal dengan permasalahan dalaman parti-parti dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan sehingga tumbangnya kerajaan pimpinan gabungan parti itu.

“Saya berikrar menyokong penuh kerajaan PN yang diketuai Muhyiddin (Yassin) dan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Abang Abdul Rahman Zohari demi kesejahteraan rakyat di Lubok Antu,” katanya kepada FMT.

Jugah berikrar menyokong penuh pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Sarawak pimpinan GPS yang diketuai Abang Johari Openg.

Pada pilihan raya umum lepas, beliau memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu dengan memperolehi 5,834 undi atas tiket Bebas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang diwakili PKR.

Jugah bersama penyokong beliau kemudiannya menyertai PKR dan menjadi sebahagian kerajaan PH.

Katanya, dengan keputusan menyokong kerajaan PN itu, beliau berharap kawasan luar bandar yang diwakilinya diberi perhatian oleh kerajaan.

“Parlimen saya merupakan kawasan luar bandar dan memerlukan bantuan serta sokongan kerajaan untuk pembangunan,”katanya.

Keputusan Jugah dilihat sebagai tamparan baru terhadap PH dalam usahanya merampas kembali kerajaan. Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan kerajaan PN yang mempunyai majoriti kecil di Dewan Rakyat.