Hospital Wuhan sorok punca kematian doktor pulih daripada koma?

Hospital Wuhan Central didakwa cuba sembunyikan selepas Dr Hu Weifeng disahkan meninggal dunia di hospital pada hari Selasa baru-baru ini selepas 5 bulan bertarung nyawa. (Gambar Twitter)

Pasti semua masih ingat kisah mengenai 2 orang doktor yang pulih daripada koma namun warna kulit mereka berubah menjadi lebih gelap.

Dr Hu Weifeng dan Dr Yi Fan dijangkiti Covid-19 daripada pesakit ketika bertugas sebagai barisan hadapan di Wuhan, China.

Mengikut laporan, kedua-dua mereka berada dalam keadaan sangat kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Namun, mereka seolah-olah mati hidup semula apabila dilaporkan sedar daripada koma.

Bagaimanapun, Dr. Hu dan Dr. Yi yang juga merupakan rakan sekerja doktor “whistle-blower” Li Wenliang serta semua staf hospital terkejut apabila warna kulit mereka berubah menjadi gelap.

Terbaru, Hospital Wuhan Central didakwa cuba menyembunyikan sesuatu selepas Dr Hu Weifeng disahkan meninggal dunia di hospital pada hari Selasa baru-baru ini selepas 5 bulan bertarung nyawa.

Sebelum ini, keadaan warna kulit menjadi gelap itu dikatakan disebabkan oleh buah pinggang yang gagal berfungsi.

Namun, menurut The Sun punca sebenar kematian Dr Hu masih belum didedahkan kepada umum sehingga ia menyebabkan kemarahan ramai pihak di China.

Disebabkan punca tersebut dirahsiakan, pelbagai persoalan yang timbul dan ada yang turut membuat spekulasi mereka sebenarnya menerima nasib yang sama seperti doktor “whistle-blower” Li Wenliang.

Dr Li sebelum ini pernah memberi amaran kepada satu dunia dan cuba mendedahkan tentang Covid-19 lebih awal namun ditahan oleh pihak polis yang dikatakan memaksanya untuk “tutup mulut”.

Dalam aplikasi Weibo, ramai rakyat China membincangkan tentang hal ini dan meluahkan rasa kebimbangan berhubung kes ini dengan menggunakan hashtag #WuhanCentralHospitalDoctorHuWeifengPassesAway.

“Bila pemimpin-pemimpin di Wuhan Central Hospital akan bertanggungjawab.”

“Sudah 5 orang pekerja perubatan yang maut di Wuhan Central Hospital disebabkan Covid-19.”

Sementara itu, doktor Yi Fan yang juga mengalami perubahan warna kulit itu dilaporkan semakin pulih dan kulitnya kini perlahan-lahan berubah kepada yang asal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]