Jawatan GLC untuk ahli Parlimen pedang bermata dua untuk Warisan, kata penganalisis

Pelantikan wakil rakyat sebagai ketua GLC boleh membantu atau menjejaskan parti Ketua Menteri Shafie Apdal, kata penganalisis Romzi Ationg. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Seorang penganalisis politik di Sabah berkata keputusan Warisan melantik wakil-wakil rakyat sebagai ketua syarikat berkaitan kerajaan boleh membantu atau menjejaskan parti itu, di sebalik spekulasi akan berlaku penghijrahan ke parti pembangkang.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata langkah itu boleh membantu Warisan hanya jika ahli Parlimen yang dilantik itu menjalankan tugas dengan cemerlang.

Beliau berkata pengundi mungkin kesal dengan keputusan Ketua Menteri Shafie Apdal melantik 2 ahli Parlimen kerana ia melanggar janji pilihan raya.

Romzi mengingatkan pembangkang mungkin akan menggunakan perkara itu untuk politik.

“Kita perlu beri ruang kepada ketua menteri untuk melakukan apa yang baginya terbaik untuk matlamat memperbaiki hal ehwal negeri menerusi pelantikan itu.

“Tetapi Warisan boleh terkesan jika gagal mencapai matlamat itu. Ia pedang bermata dua,” katanya kepada FMT.

Pada awal minggu ini, Shafie mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking sebagai pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd, dan Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman sebagai pengerusi badan pelaburan negeri, Warisan Harta Sabah Sdn Bhd.

Shafie berkata langkah itu untuk kebaikan rakyat, sambil menambah ahli Parlimen berkenaan mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk memimpin GLC terbabit dan memastikan kemajuan di negeri itu.

Namun, langkah itu mengundang kritikan Umno Sabah dan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 yang menuduh parti itu “tiada beza dengan Barisan Nasional”.

Lee Kuok Tiung, juga dari UMS, berkata masalah utama bukanlah pelantikan itu, tetapi masanya. Beliau berkata keputusan itu dibuat di sebalik khabar angin pemimpin gabungan pemerintah yang terdiri daripada Warisan, DAP, PKR, dan Upko sedia untuk berhijrah ke Perikatan Nasional.

Lee berkata pelantikan itu tidak mungkin memberi kesan buat masa ini, sambil menambah kebanyakan pengundi ketika ini mungkin sudah lupa dengan janji pilihan raya Warisan.

“Lagipun, PN juga melantik wakil rakyatnya sebagai ketua GLC.

“Mungkin satu-satunya soalan yang menarik adalah, mengapa sekarang? Mengapa tiba-tiba mahu lantik ahli Parlimen ini, yang tanpa sebarang jawatan, untuk mengetuai GLC berkenaan?”