Kehilangan pekerjaan mungkin lepasi unjuran Bank Negara, kata wakil rakyat DAP

Ong Kian Ming berkata tidak mudah untuk pekerja yang hilang pekerjaan mencari pekerjaan baru dalam keadaan ekonomi semasa.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen DAP bimbang akan situasi pengangguran, mengatakan angka bagi 2020 mungkin melepasi anggaran Bank Negara sebanyak 4%.

Ong Kian Ming dalam kenyataan hari ini menganggarkan kira-kira 1.67 juta pekerjaan di 5 sektor dalam risiko: pelancongan, borong dan runcit, pembinaan, pembuatan, dan pertanian.

Sekiranya pekerjaan di sektor berkenaan terjejas, ditambah 600,000 jumlah sedia ada setakat Mac 2020, ini bermakna angka pengangguran akan melepasi 2 juta, katanya.

“Jumlah keseluruhan tenaga kerja setakat Mac 2020 adalah 15.8 juta. Dengan anggaran 2.3 juta penganggur, kita mungkin mencapai kadar pengangguran 14% pada puncak krisis ekonomi ini.”

Dari Januari hingga April, Ong berkata, kehilangan pekerjaan yang dilaporkan kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) adalah 37,347 pekerjaan, peningkatan sebanyak 156.5% daripada 14,561 pekerjaan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah unjuran pusat EIS bahawa jumlah kehilangan pekerjaan akan meningkat daripada 40,084 pada 2019 kepada 106,700 pada 2020, atau peningkatan sebanyak 266%,” kata ahli Parlimen Bangi itu.

Ong menambah keadaan itu mencerminkan sebahagian daripada situasi pengangguran kerana tidak semua pekerja berdaftar dengan SIP.

“Kita juga harus ingat mereka yang mungkin hilang pekerjaan pada masa lalu akan mendapati tidak mudah untuk mencari pekerjaan lain dengan segera dalam ekonomi Covid-19.”

Sekiranya pengangguran diunjurkan meningkat sebanyak 2.5 kali mencerminkan unjuran kehilangan pekerjaan oleh pusat SIP, Ong berkata kadar pengangguran boleh mencecah 8.4% pada 2020.

Penolong pengarah pendidikan politik DAP itu menambah beberapa pekerjaan yang berisiko mungkin boleh diselamatkan menerusi Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan.

Namun adalah salah untuk mendakwa langkah berkenaan telah menyelamatkan 2.4 juta pekerjaan yang sebelum ini dianggarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia akan hilang, kerana beberapa syarikat akan terus beroperasi tanpa inisiatif itu.

Ong berkata kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan dapat dicegah sekiranya Malaysia meluluskan rang undang-undang penyelamat Covid-19 sebelum perintah kawalan pergerakan seperti dilakukan Singapura, yang menyediakan langkah penyelamat sementara bagi ketidakmampuan memenuhi beberapa kewajiban kontrak.

“Di Malaysia, hanya sekarang bahagian hal ehwal undang-undang di Pejabat Perdana Menteri meminta maklum balas untuk RUU serupa.”

Beliau juga berkata kerajaan harus tumpu kepada rancangan untuk menghidupkan kembali sektor yang paling terjejas, termasuk pelancongan, dan meningkatkan bantuan kepada perniagaan dan individu melebihi apa yang telah diumumkan.

“Sekiranya angka kehilangan pekerjaan tidak dipandang serius, tindakan lanjut yang diambil kerajaan mungkin terlambat dan peningkatan pengangguran antara 8% dan 14% akan membawa implikasi sosial dan ekonomi yang serius.”

Caption: Ong Kian Ming berkata tidak mudah untuk pekerja yang hilang pekerjaan mencari pekerjaan baru dalam keadaan ekonomi semasa.