Kerajaan laksana pelan rangsangan terbaru RM35 bilion untuk pulih ekonomi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi atau Penjana bagi membantu memulihkan ekonomi negara daripada kesan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyaksikan kegiatan ekonomi dan perniagaan hampir terhenti sejak pertengahan Mac lepas.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengenal pasti 3 teras utama pelan tersebut iaitu perkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

“Secara keseluruhan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion disediakan di bawah Penjana. RM10 bilion adalah suntikan fiskal daripada kerajaan,” katanya dalam perutusan khas di sini.

Peruntukan RM9 bilion untuk 3 juta pekerja

Muhyiddin berkata, bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan, kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan memanfaatkan seramai 3 juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif.

Katanya, langkah pertama ialah dengan memperluaskan program subsidi upah bernilai RM5 bilion.

“Sejak diperkenalkan dalam pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS tambahan, program subsidi upah telah disambut baik oleh pekerja dan majikan. Program selama 3 bulan ini berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.

“Bagi membantu syarikat dalam tempoh peralihan pembukaan semula ekonomi, kerajaan akan melanjutkan subsidi upah ini selama 3 bulan lagi. Subsidi upah ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja bagi setiap syarikat,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja bernilai RM1.5 bilion.

Katanya, ini bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan.

“Program Insentif Pengambilan Pekerja di mana syarikat akan diberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.

“Dianggarkan 300 ribu pencari kerja akan mendapat manfaat melalui 2 insentif, iaitu Insentif bagi menggaji penggangur berumur di bawah 40 tahun dengan peruntukan RM800 sebulan bagi setiap pekerja.

“Kedua, insentif bagi menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan OKU sebanyak RM1,000 sebulan. Insentif ini akan diberikan selama 6 bulan,” katanya.

Program ringan beban kos pengangkutan

Muhyiddin berkata, bagi meringankan beban kos pengangkutan, kerajaan akan memperkenalkan Program MY30 di mana pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang.

Katanya, inisiatif ini terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga hujung 2020.

300,000 OKU, ibu tunggal terima RM300

Beliau berkata, lebih 300,000 OKU dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat layak menerima bantuan sekali gus sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban mereka.

Katanya, bayaran itu akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM70 juta yang akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh Platform E-dagang.

Selain itu, Muhyiddin berkata, bagi membantu sektor pelancongan di bawah Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion akan ditawarkan untuk membiayai inisiatif transformasi oleh PKS dalam sektor itu agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baru.

“Perincian dana ini akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Julai 2020,” katanya.

Bantuan modal kerja Bumiputera

Muhyiddin berkata, dalam usaha memperkasakan penglibatan Bumiputera dan memastikan kelangsungan kumpulan itu dalam bidang perniagaan dan keusahawan, pembiayaan sebanyak RM200 juta akan ditawarkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Katanya, RM300 juta akan disalurkan kepada MARA bagi membolehkan usahawan Bumiputera, termasuk institut kemahiran yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan untuk modal kerja

Muhyiddin juga mengumumkan Program ePenjana bernilai RM750 juta yang menyaksikan kerajaan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna.

Katanya, ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet.

“Inisiatif ini yang akan bermula pada bulan Julai 2020 akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Pengecualian duti setem pembelian rumah

Muhyiddin berkata, kempen pemilikan rumah juga akan diperkenalkan semula.

Katanya, melalui kempen ini, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta.

“Pengecualian duti setem ke atas suratcara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut, manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman.

“Pengecualian ini akan berkuatkuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10% oleh pihak pemaju,” katanya.

Sementara itu, kerajaan juga bersetuju memberi pengecualian cukai jualan 100% ke atas jualan kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50% bagi kereta yang diimport bagi tempoh mulai 15 Jun hingga 31 Disember tahun ini, katanya.