Nama Sugu dan Pavithra sekali lagi jadi tumpuan kini dalam ucapan Muhyiddin

Muhyiddin mengirim kad ucapan tahniah kepada Sugu dan Pavithra dan mahu mereka meningkatkan kemahiran dan buka kedai makan satu hari nanti.

Selebriti YouTube, Sugu dan Pavithra terus menjadi tumpuan apabila nama mereka sekali lagi disebut dalam ucapan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Sikap bersahaja dan kesungguhan kedua-dua suami isteri ini menjana pendapatan menerusi video masakan dalam YouTube menjadi ikutan ramai sehingga ke luar negara.

“Contohnya seperti Encik Sugu dan Puan Pavithra yang viral di media sosial bulan lepas. Mudah-mudahan mereka dapat meningkatkan kemahiran dan membuka kedai makan pada satu hari nanti. Bolehlah kita merasa ayam varuval mereka.”

Saluran Youtube Sugu Pavithra mula popular sejak 3 bulan lepas apabila mereka menyediakan video resepi masakan Melayu dan India dalam cara yang mudah untuk disediakan sehingga menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Pavithra juga berjaya menarik perhatian ramai dengan menghasilkan video masakan dengan penyampaian bersahajanya.

Malah dia sekeluarga digemari kerana amat fasih berbahasa melayu.

Dan kesederhanaan dan pencapaian Pavithra ini berjaya mendapat perhatian Muhyiddin sehinggakan Perdana Menteri terpanggil untuk menyatakan ucapan penghargaan kepada Pavithra sekeluarga.

Malah Muhyiddin juga berbesar hati mengirimkan kad ucapan berserta hadiah berupa tripod kamera dan bahan masakan serta ketuhar.

Dalam pada itu selepas menggunakan contoh nama Makcik Kiah sehingga ia menjadi trending, sejak negara menjalankan Perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 Muhyiddin sekali lagi menggunakan contoh nama lain.

Dan kini nama kak Radziah pula digunakan sebagai contoh.

“Saya ingin memberikan beberapa contoh mudah bagaimana PENJANA dapat memberi manfaat kepada anda sekalian. Misalnya, Kak Radziah pengusaha taska di bawah pakej PRIHATIN telah mandapat manfaat daripada subsidi upah dan sebagai seorang usahawan mikro telah menerima Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000.

“Di bawah PENJANA, Kak Radziah sekarang dapat menikmati pelanjutan subsidi upah untuk 3 bulan lagi. Di samping itu, dengan pembukaan semula taska selepas PKP, Kak Radziah juga sekarang layak menerima bantuan taska sebanyak RM5,000 dan juga insentif kursus asuhan sebanyak RM900 bagi setiap pekerjanya,” katanya.

Sementara itu, satu lagi contoh yang digunakan ialah Datuk Lim.

“Di bawah PRIHATIN, Datuk Lim mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman bank yang membantu kelangsungan aliran tunai perniagaannya. Selain itu, perniagaan Datuk Lim di bawah PRIHATIN juga dikecualikan levi HRDF.

“Ekoran pengecualian cukai untuk pembelian rumah dan kereta di bawah PENJANA, Datuk Lim sekarang berminat untuk membeli pangsapuri dan kereta untuk anak dewasanya. Di samping itu, bagi menyokong mengurus perniagaannya dari rumah, Datuk Lim menikmati internet percuma bagi membuat persidangan video dan dapat pengecualian cukai pendapatan untuk pembelian laptop baharunya.”

Dengan bertemakan “Daripada Rakyat, Kepada Rakyat”, dana yang terkumpul ini akan disalurkan untuk membantu pembiayaan perniagaan perusahaan mikro terutamanya usahawan wanita, penambahbaikan liputan internet jalur lebar di sekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan geran penyelidikan penyakit berjangkit.

Tambah Muhyiddin semua Pakej Rangsangan Ekonomi, termasuk langkah-langkah di bawah PENJANA akan terus dipantau pelaksanaannya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]