Pelan pemulihan ekonomi bukti Muhyiddin ambil berat keluhan rakyat, kata menteri pelancongan

Menteri Pelacongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, pelan pemulihan ekonomi terbaru kerajaan akan membantu penggiat sektor pelancongan dan sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang dilarang sepanjang tempoh PKPB.

PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini membuktikan beliau amat mengambil berat dan prihatin ke atas keluhan rakyat.

Beliau berkata, antara yang bakal mendapat manfaat daripada pakej terbaru itu ialah pekerja, usahawan dan penggiat sektor pelancongan dan sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang dilarang sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“(Mereka) diarahkan mengambil cuti tanpa gaji mendapat manfaat daripada peluasan Program Subsidi Upah, iaitu majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja menerima bayaran subsidi secara langsung.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Muhyiddin atas komitmen beliau untuk memastikan penggiat dalam industri pelancongan, seni dan budaya yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini dibantu bagi memastikan mereka dapat kembali menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan, seni dan budaya negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Nancy berkata, Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion adalah bagi membiayai inisiatif transformasi oleh PKS dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baru.

Katanya, perincian dana tersebutakan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada Julai 2020 ini.

“Beberapa langkah cukai juga akan dilaksanakan ialah perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan yang diberikan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang kena dibayar bagi tempoh 1 April hingga 30 September ini akan dilanjutkan tempoh penangguhan selama 3 bulan lagi mulai 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

“Pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya adalah bagi tempoh 1 Julai hingga 30 Jun 2021. Pengecualian cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September hingga 30 Jun 2021.

“Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya.

Nancy berkata, Muhyiddin juga prihatin mengenai nasib penggiat industri kreatif, hiburan dan acara.

Beliau berkata, wujud keluhan dalam kalangan karyawan, pengarah filem, kru produksi dan pengurus acara yang merupakan antara penyumbang kepada sektor pelancongan.

“Beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara yang berjumlah sebanyak RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC dan pihak swasta,” katanya.

Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi atau Penjana bernilai RM35 bilion bagi membantu memulihkan ekonomi negara daripada kesan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyaksikan kegiatan ekonomi dan perniagaan hampir terhenti sejak pertengahan Mac lepas.

Muhyiddin berkata, kerajaan mengenal pasti 3 teras utama pelan tersebut, iaitu perkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

“Secara keseluruhan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion disediakan di bawah Penjana. RM10 bilion adalah suntikan fiskal daripada kerajaan,” katanya dalam satu perutusan khas awal hari ini.