Pelarian Rohingya lari dari kem di Bangladesh elak kuarantin

Orang ramai membeli sayur-sayuran di kem pelarian Kutupalong Rohingya di Cox’s Bazar pada Selasa. (Gambar AP)

COX’S BAZAR: Pelarian Rohingya yang dijangkiti koronavirus melarikan diri daripada kuarantin di kem mereka di Bangladesh berikutan bimbang dipindahkan ke pulau terpencil di Teluk Bengal, kata pemimpin masyarakat pada Khamis.

Sekurang-kurangnya 2 pelarian yang dijangkiti hilang sejak diuji positif selepas kematian pertama Covid-19 dilaporkan pada Selasa, kata mereka.

Kira-kira sejuta etnik Rohingya – kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera di Myanmar pada 2017 – memenuhi kem di sepanjang sempadan Bangladesh, dan koronavirus menjadi penyebab penderitaan terbaru.

Agensi bantuan sudah lama memberi amaran virus itu boleh menyebabkan kekacauan di kem yang sesak, di mana penjarakkan sosial hampir mustahil.

Setakat ini hanya 29 jangkitan dikesan, walaupun 16,000 etnik Rohingya berada dalam zon kuarantin di dalam kem.

Belum jelas berapa banyak ujian yang sudah dilakukan di kem, tetapi seorang pegawai kesihatan kanan berkata 2 pelarian yang terbukti positif “melarikan diri dari hospital pengasingan”.

Beliau menambah hanya 20 pelarian bersetuju untuk menjalani ujian sejak 2 hari lalu kerana mereka percaya pelarian yang dijangkiti akan dihantar ke pulau Bhashan Char di Teluk Benggala.

“Ia menimbulkan rasa panik secara besar-besaran,” kata Nurul Islam, seorang pemimpin masyarakat, kepada AFP.

Pihak berkuasa Bangladesh sudah lama mahu mendirikan sebuah kem untuk 100,000 pelarian di pulau terpencil, dan sudah menghantar 306 etnik Rohingya ke situ.

“Orang Rohingya berasa bimbang,” kata pegawai kesihatan berkenaan kepada AFP dengan syarat merahsiakan namanya.

“Kami sudah beritahu mereka tidak akan dihantar ke mana-mana.”

KIira-kira 500 katil pengasingan disediakan di kem terbabit, namun kebanyakkannya kosong kerana hanya sedikit kes sah dikesan, menurut pegawai berkenan.

Kematian pertama akibat koronavirus membabitkan etnik Rohingya diumumkan pada Selasa, dan pegawai kesihatan berkata mereka perlu meningkatkan saringan untuk melihat sejauh mana virus itu merebak.

Namun Khalilur Rahman Khan, pentadbir di sebuah blok kem, berkata doktor memberitahunya pelarian enggan memberi kerjasama.

Sesetengah pemimpin etnik Rohingya berkata pemindahan 306 pelarian ke Bhashan Char menimbulkan khabar angin sesiapa yang dijangkiti koronavirus akan dihantar ke sana.

“Orang ramai takut untuk menjalani ujian virus,” kata Abu Zaman, seorang pemimpin masyarakat.

Mohammad Shafi, jiran kepada pelarian yang kematiannya diumumkan pada Selasa, berkata pelarian yang mengalami gejala koronavirus seperti demam dan sakit bertegas hanya selesema bermusim.

“Saya cuba meyakinkan mereka ini penyakit yang boleh disembuhkan dan kebanyakan orang akan sembuh, tetapi ramai yang tidak mempercayainya,” katanya.