Pemimpin PKR Sarawak kesal ahli Parlimen keluar parti

Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng berkata, Jugah Muyang merupakan kawan baik dan ahli Parlimen yang gigih yang bimbang kerana kurangnya projek pembangunan di kawasannya.

KUCHING: Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng menyuarakan kekesalan berhubung keputusan ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar parti itu hari ini.

Bercakap kepada FMT, ahli Parlimen Julau itu berkata, “adalah dikesali Jugah membuat keputusan untuk keluar PKR. Bagaimanapun saya doakan yang terbaik kepadanya.

“Beliau merupakan kawan baik dan ahli Parlimen yang gigih. Saya maklum beliau bimbang mengenai kekurangan projek di kawasannya.

“Kalau beliau boleh menunggu lebih lama sedikit, saya pasti parti boleh menawarkan penyelesaian kepadanya,” katanya.

Sng berkata, Jugah terlalu komited pada janji untuk membawa projek pembangunan ke kawasannya.

Bagaimanapun janji itu tidak dapat ditunaikan berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan harapan (PH) Februari lepas.

“Jabatan Pembangunan Negeri membekukan dana selepas itu,” katanya.

Terdahulu hari ini, Jugah, yang juga merupakan bekas naib presiden PKR, keluar parti dan menjadi wakil Bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat dan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau merujuk kepada masalah dalaman PH dan tumbangnya kerajaan gabungan itu berikutan peletakan jawatan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai puncanya keluar parti.

Katanya, Lubok Antu merupakan kawasan pedalaman yang memerlukan bantuan kerajaan untuk membangunkannya.

“Saya berbincang dengan para penyokong dan mereka bersetuju untuk menyokong kerajaan PN demi pembangunan di Lubok Antu,” katanya.

Berikutan perkembangan ini, kini terdapat hanya 2 ahli Parlimen PKR di Sarawak, iaitu Sng dan ahli Parlimen Miri Michael Teo.

Peletakan jawatan Jugah juga berlaku seminggu selepas bekas pengerusi PKR Sarawak Baru Bian menyertai parti pembangkang Parti Sarawak Bersatu (PBS).