Redzuan masih bersama Muhyiddin, nafi letak jawatan

Redzuan Yusof.

KAJANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Yusof nafi khabar angin beliau akan meletakkan jawatan.

Penafian ini sehari selepas seorang pemimpin PPBM melepaskan jawatan timbalan menteri.

“Saya tidak meletak jawatan dan tidak akan meletak jawatan, malah terus bekerjasama dengan Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya pada sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu juga berpendapat ada kumpulan tertentu ingin menggugat kestabilan politik.

“Situasi politik semasa banyak spekulasi dan juga cercaan,” katanya.

Redzuan tidak mahu mengulas lanjut situasi politik dalaman parti, kerana ia sudah dijelaskan dalam kenyataan Setiausaha Agong Hamzah Zainudin.

“Akar umbi sama ada yang lama, yang awal, yang baru, saya menyeru marilah bersatu dalam satu saf dan kepimpinan bagi kesinambungan dan kelesterian perjuangan kita.

“Parti bukan hak saya, bukan hak individu, bukan hak pengasas, bukan hak pemimpin tetapi hak ahli PPBM,” katanya.