Singapura lapor 261 kes baru Covid-19, jumlah keseluruhan lebih 37,000

Setakat hari ini Singapura mengklasifikasikan 1,711 sebagai kes Covid-19 komuniti, 580 kes diimport dan 34,631 kes pekerja asing yang tinggal di asrama. (Gambar AP)

SINGAPURA: Singapura dalam pengesahan awal hari ini berkata, terdapat 261 kes baru jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 37,183.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, data pada tengah hari menunjukkan sebahagian besar kes itu masih melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat 11 kes dalam komuniti, iaitu 6 adalah rakyat Singapura atau Penduduk Tetap dan 5 adalah pemegang pas kerja,” menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Daripada 11 kes itu, MOH berkata, 6 dikaitkan dengan kes yang disahkan sebelum ini dan 1 mempunyai kaitan dengan kluster asrama, manakala penyelidikan epidemik masih berterusan untuk 4 lagi.

“Bilangan kes yang lebih rendah hari ini sebahagiannya disebabkan ujian ‘swab’ yang dijalankan berkurangan,” menurut MOH dan menambah ia masih menyelesaikan butiran kes dan kemas kini lebih lanjut akan dimaklumkan hari ini.

Data lengkap yang dikeluarkan lewat Khamis, Singapura mengklasifikasikan 1,711 sebagai kes komuniti, 580 kes yang diimport dan 34,631 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sejumlah 23,904 pesakit atau 65% daripada jumlah keseluruhan 36,922 semalam, telah sembuh.

Menurut MOH sebanyak 12,691 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal dilihat dalam keadaan baik, tetapi masih diuji positif bagi Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti masyarakat.

Sehingga tengah hari semalam, 303 kes disahkan masih berada di hospital dengan 5 menerima rawatan intensif dan setakat ini 24 meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Empat kluster baru dikenal pasti pada Khamis, 1 di tempat kerja di Kampong Bugis, manakala 3 di asrama pekerja, iaitu, 212, Tagore Lane; 63, Tuas South Avenue 1; dan 109, Ubi Avenue 4.