SPRM kini sasar pembangkang, kata Dr M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, wujud kebimbangan bahawa negara akan kembali ke ‘zaman Najib Razak’.

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dilihat “menyasarkan” pemimpin politik pembangkang.

Beliau berkata, melihat kepada situasi yang menyaksikan anggota Pemuda PPBM disoal siasat kerana tidak memihak kepada kerajaan mendatangkan kebimbangan bahawa negara akan kembali ke ‘zaman Najib Razak’.

“Kita dapati beberapa jabatan kerajaan mengenakan tekanan ke atas kami sebagai pembangkang

“Kami dapati kerajaan salah guna kuasa mereka dengan tindakan yang diambil oleh SPRM kepada Pemuda PPBM,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

“Sesetengah orang disoal siasat mengenai cukai pendapatan. Ini sama dengan keadaan di bawah Najib.

“Tidak apa nak soal siasat Pemuda PPBM, tetapi mereka guna ‘tekanan’,” kata beliau.

Mahathir mendakwa seorang tahanan wanita disoal siasat dalam gelap oleh orang lelaki.

“Ini merupakan satu bentuk tekanan ke atas sayap Pemuda.”

Beliau juga mendakwa wujud percubaan untuk merasuah pengkritik kerajaan dengan menawarkan jawatan.

“Mereka boleh namakannya apa sahaja dan ia diberikan, seperti kedudukan, jawatan menteri. Menteri dapat RM18,000 sebulan. Malangnya sesetengah orang kecundang kerana ini.

“Kita akan kembali ke ‘zaman Najib’. Keadaan akan menjadi bertambah buruk,” katanya.

Mahathir berkata, kerajaan belum “menggunakan polis” untuk menyasarkan pembangkang, tetapi terkejut apabila ia (kerajaan) “menggunakan SPRM”.

Katanya, selama hampir 2 tahun Pakatan Harapan (PH) memerintah ia menggantikan jawatan dalam GLC dengan individu profesional, tetapi kini diganti semula dengan orang politik.

“Kita akan kembali ke ‘zaman Najib’ di mana ahli politik diberi pekerjaan yang bagus. Ini sudah berlaku,” katanya.

Dalam menangani Covid-19, Mahathir berkata, kerajaan telah mengambil tindakan yang baik, tetapi itu kerana ia tidak melibatkan orang politik, sebaliknya dilakukan oleh profesional.

“Ia dikendalikan oleh doktor. Pada satu ketika, ada usaha untuk mengeluarkannya dan menggantikannya dengan ahli politik kerana ia memberi publisiti yang baik kepada ahli politik itu, tetapi ada bantahan kerana pegawai itu masih ada,” katanya merujuk kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Berhubung keadaan ekonomi semasa, Mahathir berkata, “sejumlah besar wang’ telah diumumkan, tetapi ia “belum sampai” kepada orang ramai.

Katanya, PH sedang berusaha untuk mendapatkan perincian pemberian wang oleh kerajaan.

“Kerajaan kelihatan baik dalam surat khabar Malaysia, tetapi dari awal orang ramai menderita,” katanya.