Tambat ringgit tak sesuai ketika ini, kata pakar

KUALA LUMPUR: Tambatan ringgit tidak sesuai untuk dilaksanakan ketika negara sedang mengalami krisis penularan Covid-19 dan isu yang dihadapi adalah berkaitan dengan kesihatan dan ekonomi.

Penganalisis Ekonomi Prof Madya Madeline Berma berkata, krisis Covid-19 yang dialami bukan sahaja menjejaskan ekonomi di Malaysia malah ekonomi seluruh dunia juga turut terkesan dengan keadaan semasa.

“Kita tidak boleh menyamakan krisis kewangan yang berlaku pada 1997 dan 1998 dengan krisis sekarang dan mengambil langkah menambat ringgit kerana spekulasi matawang tidak berlaku ketika ini, jadi ia tidak harus untuk dilakukan.

“Pada masa itu, berlakunya pengaliran keluar pelaburan asing secara berterusan tetapi kerajaan ketika itu mengambil langkah mengenakan sekatan secara selektif namun apa yang berlaku sekarang ini adalah berbeza, pelaburan asing tidak keluar tetapi ekonomi di seluruh dunia terhenti,” katanya dalam program Ruang Bicara “Pelan Pemulihan Menjana Ekonomi Negara” terbitan Bernama TV di Wisma Bernama malam tadi.

Turut hadir ialah bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Emeritus Zakariah Abdul Rashid.

Zakariah bersetuju dengan pendapat Madeline dan berkata tambatan ringgit tidak harus dilakukan sekarang kerana keadaan semasa matawang dolar AS juga tidak diketahui.

“Krisis ekonomi yang kita hadapi pada masa lalu adalah krisis kewangan tetapi apa yang kita hadapi sekarang ini ialah ekonomi ‘real sector’, ia memberi kesan yang lebih banyak sehingga menyebabkan gangguan pengeluaran ekoran daripada perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Jadi masalah yang berlaku ketika ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, jauh berbeza dan pada skala yang sangat besar sekali berbanding krisis kewangan sebelum ini. Kalau dulu kita namakannya kemelesetan ekonomi namun sekarang orang ramai sudah mula bertanya adakah kita akan mengalami great depression (zaman meleset) yang berlaku pada sekitar 1920-an dan 1930-an dulu?” katanya.

Masalah ekonomi yang di hadapi dunia dan negara ketika ini jauh lebih besar jika dibandingkan dengan krisis kewangan global pada 2008, katanya.

Zakariah tidak menyangkal zaman meleset akan berulang sekiranya ketidaktentuan ekonomi global berlanjutan sehingga 3 tahun.

Buat masa ini, pemain ekonomi terbesar dunia iaitu China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sudah pun merasai kesan ekonomi, katanya.

“Kita menyaksikan perang perdagangan antara AS dan China menyebabkan sekatan barangan di mana AS tidak mahu mengimport barangan daripada China, dan Malaysia.

“Malaysia yang merupakan rakan dagangan China akan turut terjejas,” katanya.

“Apabila ini berlaku, pendapatan kerajaan juga akan turut terjejas dan menyebabkan kekangan kepada kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada orang ramai walaupun ia mempunyai rancangan yang komprehensif,” katanya lagi.

Manakala di peringkat global, Zakariah berkata ekonomi besar dunia kini kembali membuat sekatan dalam perdagangan.

“Pada masa lalu, kita selalu bercakap mengenai globalisasi terutama sekali pada masa perang dunia kedua, tetapi sekarang kita berbalik kepada ‘protectionism’, maka apabila ekonomi paling besar mengamalkan ‘protectionism’, negara yang kecil termasuklah Malaysia akan terkapai-kapai, “ katanya,

Zakariah berkata masalah pengangguran dalam kalangan rakyat berkemungkinan akan turut bertambah kepada 1.7 juta berbanding 600,000 ketika ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan perlu memberikan perhatian kepada perusahaan mikro dan kecil memandangkan golongan ini paling terkesan dengan impak negatif penularan Covid-19 yang secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara dan juga global.

Sebanyak 70% daripada 98.5% perusahaan kecil sederhana (PKS) terdiri daripada perusahaan kecil dan mikro di mana kebanyakannya terlibat dalam sektor perkhidmatan, katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) jangka pendek yang menumpukan kepada 3 matlamat utama iaitu memperkasakan rakyat, merancakkan perniagaan, dan merangsangkan ekonomi, ia akan membawa kepada landasan pemulihan dan pertumbuhan.

Kerajaan menyediakan sokongan kepada ekonomi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM260 bilion.