39, termasuk 9 warga Vietnam ditahan dalam parti dadah di Bangsar

Polis berkata, mereka yang menyertai parti liar di sebuah bango di Bangsar awal pagi tadi dijemput melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon.

KUALA LUMPUR: Aktiviti 39 individu yang berhibur dalam parti liar dengan kebanyakan mereka berada di bawah pengaruh dadah berakhir dengan serbuan polis di sebuah banglo di Bangsar, di sini awal hari ini.

Dalam serbuan pada 1.15 pagi itu, 20 lelaki dan 19 wanita berusia 18 hingga 40 tahun, termasuk 9 warga Vietnam ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menerusi Op Parti Liar.

Ketua Polis Daerah Brickfields Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, banglo tersebut disewa oleh seorang daripada suspek wanita yang ditahan pada kadar RM1,900 semalam.

“Mereka yang menyertai parti liar ini dijemput melalui WhatsApp dan panggilan telefon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya polis turut merampas tiga paket plastik disyaki mengandungi dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 46.12 gram, 12 biji pil ecstasy dan tiga paket plastik berisi dadah disyaki ketamin (dengan) anggaran berat 4.5 gram.

Nilai keseluruhan dadah dianggar RM5,647.

Zairulnizam berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 32 daripada mereka positif dadah.

“Kesemua yang ditahan turut dikompaun kerana melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman 7 hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.