Bekas rakan sepasukan beri kata semangat pada legenda Namat Abdullah

Namat Abdullah yang lemah dan kurus kering menjalani sesi mengurut di rumah anaknya di Taiping. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas rakan sepasukan dan peminat terkejut serta bimbang terhadap kesihatan legenda bola sepak, Namat Abdullah yang kelihatan lemah dan kurus kering dalam sekeping gambar di media sosial.

Mahani Sulaiman, 71, isteri bekas pemain pertahanan yang menghidap kanser usus itu, berkata keadaannya tidak seteruk yang dilihat.

“Beliau mungkin lemah, tetapi beliau mempunyai ingatan yang baik, bercakap dengan baik dan mempunyai selera makan,” kata Mahani sambil menambah mereka kini tinggal di rumah anak lelaki mereka di Taiping.

Bekas pemain antarabangsa yang melawat Namat berkata, pemain kelahiran Butterworth itu tabah menghadapi tahap kesihatannya, sama seperti ketika beliau menghalang penyerang di padang.

Mereka berkata, Namat masih bersikap ramah, lemah-lembut dan merendah diri.

Namat, yang meraikan ulang tahun kelahirannya pada 30 Mac lalu, menghidap kanser tahap 4.

Namat Abdullah memegang gambar pasukannya mewakili negara ke Olimpik Munich pada 1972. (Gambar Amir Irsyad Omar)

Bekas pegawai Jabatan Penjara di Sungai Petani itu ialah abang sulung kepada penyerang terkenal, Shaharuddin Abdullah.

Namat memulakan kerjayanya sebagai penyerang, sebelum menjadi antara pemain pertahanan paling berjaya di Malaysia.

Bermain untuk Pulau Pinang dari 1965 hingga 1975, beliau mewakili negara sebanyak 115 kali dengan kali terakhir menyarung jersi negara di Kejohanan Ulang Tahun Jakarta pada 1975.

Beliau membuat penampilan sulung dengan skuad kebangsaan pada 1968 ketika Malaysia muncul juara dalam kejohanan Merdeka dengan menewaskan Burma 3-0 dalam aksi final.

Beliau mengetuai skuad negara susulan persaraan M Chandran selepas Olimpik Munich pada 1972.

Sebagai ahli pasukan Olimpik Munich, beliau sering bercakap mengenai perlawanan pembukaan menentang Jerman ketika beliau diberikan tugas untuk menjaga Uli Hoeness.

Malaysia kalah kepada Jerman (3-0) dan Maghribi (6-0), tetapi berjaya menundukkan USA 3-0 di temasya itu.

Namat Abdullah (barisan depan, 2 dari kiri) menjadi pemain pertahanan ketika mewakili negara ke Olimpik Munich pada 1972.

Pasukan itu kemudiannya bertanding di Sukan Asia di Tehran pada 1974 dan memenangi pingat gangsa dengan mengalahkan Korea Selatan 2-1 dengan jaringan Isa Bakar.

Namat dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran “Datuk” oleh Gabenor Pulau Pinang pada 2011.

Bekas rakan sepasukan Namat yang ditemui FMT memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Mohammed Bakar

Mohammed Bakar (Pulau Pinang, rakan sepasukan skuad negara dan rakan sejak zaman kanak-kanak):

“Kami percaya beliau akan bertarung dengan penyakitnya menggunakan semangat juang seperti di padang. Saya yakin beliau akan kekal kuat seperti ketika beliau merampas bola dari pasukan lawan.”

V Kalimutu (rakan sepasukan dalam aksi kelayakan pra-Olimpik Munich)

“Disiplin dan semangat juangnya akan terbukti dalam tempoh sukar ini. Saya mendoakan beliau yang terbaik. Beliau digeruni di padang dan saya tidak nampak beliau mudah menyerah dalam perjuangan menentang kanser.”

V Kalimutu

V Thanabalan (rakan sepasukan dalam skuad negara kejohanan Merdeka dan Sukan Sea 1968-69):

“Beliau ialah pemain berdisiplin dan sifat ini akan membantu beliau mengharungi cabaran ketika ini.

“Saya menggesa beliau menggunakan semua kualiti pemain pertahanan hebatnya untuk bertarung dengan penyakitnya.”

Teoh Yit Huat (rakan sepasukan Pulau Pinang):

“Kini masanya untuk memberi semua sokongan kepadanya. Sama seperti beliau membantu Pulau Pinang menjadi pasukan hebat yang dikendalikan bapa mendiang Tan Aik Mong, Tan Cheng Hoe, dari 1975 hingga 1979. Mari kita doakan untuk beliau.”